Dewan Tertinggi BN akur keputusan Lembaga Pengampunan
Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi juga mendukung segala langkah yang akan diambil mengikut lunas undang-undang.
“Sempena Ulang Tahun Jubli Emas BN ke-50, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju membentuk satu Jawatankuasa Khas bagi menyelaras semua program bersempena sambutan ulang tahun berkenaan pada Jun depan.
“Mesyuarat Dewan Tertinggi juga bersetuju mengenai beberapa pelantikan iaitu Pengerusi Jawatankuasa BN Terengganu, Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Barisan Nasional Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian-bahagian berdasarkan fasal 24(A),” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.
Pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 memutuskan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
Menurut pihak Urusetia Lembaga Pengampunan, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
BACA JUGA Pengampunan separuh tebus jasa Najib