Selepas jenuh bantah silibus ‘gila’ Matematik, Cikgu Fadli angkat kaki

Seorang guru Matematik yang tular memperjuangkan pendidikan murid sekolah rendah, Mohd Fadli Mohamed Salleh mengumumkan bersara awal hari ini.

Beliau yang lantang bersuara mengenai kepincangan yang menyukarkan pembelajaran murid itu berkata, keputusannya mengundur diri itu selepas 18 tahun berkhidmat sebagai guru.

“Dan akhirnya, tarikh ini tiba jua. Izinkan daku mengundur diri. Terima kasih dan maaf atas segalanya,” katanya malam ini.

Cikgu Fadli turut menyertakan gambar sambutan majlis persaraannya di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Selangor di Facebook rasminya hari ini.

Menerusi hantaran yang sama, beliau turut berkongsikan senarai sekolah yang pernah menerima kehadirannya.

“3 Januari 2006. Melapor diri di SK Mambang, Pekan, Pahang. Disember 2009, melapor diri di SK Taman Melawati 2. Oktober 2016 – Februari 2023, SK 1 Gombak pula terima diri ini.

“Banyak sebenarnya ingin ditulis, tapi aku tak tahu di mana perlu bermula. Ah, biarlah aku pendam sahaja segalanya.

“Setiap yang bermula pasti berakhir jua. Terima kasih semua atas memori indah sepanjang kita bersama.

“Kalian sentiasa ada dalam setiap sujud dan doa. Izinkan daku mengundur diri,” katanya lagi.

Guru berkenaan sebelum ini pernah dikatakan akan dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat lantaran kritikannya terhadap sistem pendidikan negara.

Pada 2022, Cikgu Fadli dihadapkan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan ekoran pendedahan mengenai kepincangan silibus pendidikan negara.

Namun, beliau didapati tidak bersalah dan tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Bebanan guru dan murid sekolah rendah seawal Tahap Satu (Tahun Satu hingga Tiga) dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menyaksikan ramai murid kecundang dalam menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M).

Cikgu Fadli dilihat mewakili suara hati guru dan ibu bapa yang bimbang melihat penerapan KBAT terhadap murid Tahap Satu adalah terlalu awal.

Membaca, menulis dan mengira pun masih merangkak tetapi murid ‘didera’ untuk memahami dan menganalisis soalan beraras tinggi.

Akibatnya, ramai murid ketinggalan dari sudut pembelajaran dan terjejas potensi perkembangan kognitif akibat diasak dengan silibus melampau sukar sejak Tahun Satu.

Bukan sahaja dalam matapelajaran Matematik, subjek Bahasa Melayu Tahun Dua contohnya, sudah memaksa murid memahami konsep isi tersirat.

Malah, KBAT yang sudah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan sejak 2013 menyaksikan sebahagian generasi pelajar sekolah menengah hari ini tidak berminat untuk belajar dan mengambil SPM.

BACA JUGA Sukatan baru prasekolah sedang dimuktamadkan