Abdul Taib terima rawatan di rumah, dipantau doktor dan jururawat

Doktor dan jururawat pada masa ini ditempatkan di kediaman bekas Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya, Kuching.

Pegawai perubatan terbabit disediakan bagi merawat serta memantau keadaan Abdul Taib sejak beliau dibawa keluar daripada Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya, 3 Februari lalu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, memaklumkan hal itu selepas Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.

Beliau dalam masa sama mengakui kesihatan Abdul Taib yang juga suami Toh Puan Raghad Kurdi Taib itu agak merosot tetapi keadaannya baik.

“Ya, beliau memang sakit, tetapi okay.

“Beliau kini sedang menerima rawatan di rumah dan kita menyediakan doktor serta jururawat untuk sentiasa memantaunya,” katanya, dipetik BH.

Ditanya media sama ada beliau sudah melihat keadaan Abdul Taib, Abang Johari berkata, beliau belum melawatnya lagi.

“Beliau masih dalam rawatan. Jadi, saya belum melawatnya.

“Tetapi kita sentiasa menerima perkembangan daripada pegawai perubatan (yang merawatnya),” katanya.

Minggu lalu heboh dikatakan seorang doktor dari Pusat Perubatan Pakar Normah membuat laporan polis mendakwa Abdul Taib dibawa secara paksa keluar dari hospital pada jam 11.56 malam, 3 Februari lalu walaupun dinasihatkan beliau perlu kekal di hospital untuk rawatan.

Susulan laporan polis itu, adik Abdul Taib, Datuk Mohammad Tufail Mahmud turut membuat laporan sama terhadap Raghad Kurdi Taib.

Laporan itu mendakwa Raghad mengabaikan nasihat perubatan apabila tidak berbincang dengan kakitangan unit rawatan rapi (ICU).

Raghad juga dikatakan tidak berunding dengan keluarga sebelum membawa Abdul Taib yang juga bekas Ketua Menteri 33 tahun itu keluar hospital.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, setakat ini polis menerima lapan laporan berhubung isu bekas Yang Dipertua Negeri itu.

BACA JUGA Adik Abdul Taib buat laporan polis