Hasanuddin beri peringatan jangan normalisasi aktiviti persundalan
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus meminta masyarakat agar tidak menormalisasikan aktiviti persundalan yang kini dipromosi secara terbuka di media sosial.
Kata Hasanuddin, beliau senada dengan beberapa pemimpin negara dan mufti yang menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang mempromosikan kemungkaran ini kerana ia boleh merosakkan nilai akhlak masyarakat.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu menggunakan undang-undang mereka bagi mengekang kegiatan tidak bermoral itu dari terus berleluasa.
“Yadim sentiasa cuba untuk melaksanakan dakwah amar makruf nahi mungkar. Dan apabila kami mendapat maklumat tentang tersebarnya kempen secara terbuka, aktiviti persundalan yang diiklan di medsos ini.
“Ini tidak wajar berlaku dalam negara kita. Kita perlu beramai-ramai membantah perkara ini dari sudut masyarakat.
“Dari sudut undang-undang pula kami telah berkomunikasi dengan pasukan yang mempunyai autoriti untuk melaksanakan pencegahan melalui tindakan undang-undang sama ada melalui akta ataupun melalui enakmen di negeri-negeri.
“Sepatutnya mereka tidak boleh berdiam diri membiarkan perkara ini,” katanya dalam satu video ringkas di TikTok miliknya.
Sebelum ini, sebuah laman web penstriman yang menjemput ‘Hot Daddy’ untuk datang ke podcast mereka menimbulkan situasi kecoh dalam kalangan umat Islam kerana tindakan itu didakwa seolah-olah menyokong dan mempromosikan apa yang dilakukan lelaki berkenaan.
Ia turut mendapat teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, yang dilaporkan bimbang tindakan itu akan mempengaruhi para remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga memberi peringatan agar pengendali podcast supaya mengamalkan kawalan kendiri kerana kerajaan belum berhasrat melaksanakan kawal selia ke atas platform terbabit.
Semalam, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othman berkata,’Hot Daddy’ yang tular dalam aplikasi X bersama beberapa wanita perlu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT.
BACA JUGA Syed Saddiq, pimpinan MUDA mesti minta maaf isu pengampunan