Abim, Yadim: Islam dan mahkamah syariah tidak terjejas

Abim menyeru umat Islam di negara ini untuk bertenang dan elak dari berpolemik sehingga ia boleh menimbulkan kegusaran ramai kerana kedudukan Islam dan mahkamah syariah terpelihara.

Presiden Abim Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menegaskan kedudukan Islam dan mahkamah syariah tidak akan terjejas ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan keabsahan 16 peruntukan di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

“Abim menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang telah menggariskan langkah-langkah segera untuk menangani keputusan kes ini dan seterusnya meningkatkan usaha memperkasa mahkamah syariah.

“Kami ingin mengingatkan pendirian Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim dalam kes ini yang menjelaskan bahawa kes ini tidak ada kena mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara, tetapi khusus membicarakan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN Kelantan) untuk menggubal perundangan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kami juga sedia terlibat-sama menjayakan sebarang usaha reformasi hal ehwal pentadbiran agama Islam melalui Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara Zaki Azmi,” katanya.

Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Hasanuddin Mohd Yunus turut senada dalam perkara ini.

“Kami percaya bahawa sistem keadilan di Malaysia masih tetap utuh berpaksikan kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Para hakim yang menganggotai panel hakim kes ini juga telah berikrar dan bersumpah untuk mempertahankan prinsip Perlembagaan ini.

“Perlembagaan itu sendiri telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, agama Islam itu harus ditadbir urus mengikut prinsip yang ditetapkan.

“Isu sebenar dalam kes Nik Elin ini sebenarnya bukanlah berkaitan dengan mencabar kedaulatan Islam atau suatu pencerobohan ke atas bidang kuasa Mahkamah Syariah tetapi sebenarnya adalah satu ujian kepada prinsip,” katanya.