2024 masa untuk fokus ekonomi, jadikan Malaysia kembali disegani 

Bagi mengembalikan semula status Malaysia sebagai sebuah negara disegani, Perdana Menteri akan terus memfokuskan kepada usaha pembangunan ekonomi serta menggalakkan pelaburan ke dalam negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sambil memanfaatkan kestabilan politik dan kerajaan Madani yang kukuh, semua pihak perlu menumpukan kepada pembangunan ekonomi, dan mengembangkan keupayaan dalam semua bidang.

“Dengan kestabilan politik dan kerajaan Madani yang kukuh, kita mesti menumpukan kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan pelaburan dan mengembangkan keupayaan kita dalam semua bidang seperti pendidikan, kesihatan dan kebudayaan.

“Bagi 2024 ini, Kabinet sangat fokus untuk memastikan semua tumpuan itu dilaksanakan agar Malaysia kembali menjadi negara yang hebat dan disegani di rantau ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di dewan KLSCAH hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Anwar berkata, dengan kekuatan penyatuan setiap kaum di negara ini, beliau yakin semua pihak akan terus berperanan menjayakan hasrat meningkatkan kemajuan negara, sekali gus menjadikan Malaysia kembali sebagai sebuah negara hebat di rantau ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hubungan Malaysia-China yang kini pada tahap strategik dan membanggakan, mampu membawa lebih banyak pelaburan ke negara ini, malah hubungan baik kedua-dua negara akan terus dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat.

“Kita gunakan sejarah panjang hubungan Malaysia-China untuk tunjukkan ia merupakan hubungan yang aman dan sekarang kita tumpu hubungan ekonomi.

“Seperti yang kita sebut, China antara negara utama yang melabur dalam sektor ekonomi di negara ini dan sekarang kita terus kembangkan hubungan itu meliputi bidang pendidikan, kebudayaan, kerjasama antara universiti serta dengan syarikat-syarikat besar negara terbabit,” katanya.

BACA JUGA Selain Mahiaddin, ini 3 ahli politik bagi alasan menggelikan hati demi pelepasan pasport