Selain Mahiaddin, ini 3 ahli politik bagi alasan menggelikan hati demi pelepasan pasport
8 Februari lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan bekas perdana menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin untuk mendapatkan pasport miliknya bagi melawat rakan perniagaan dan menghadiri perasmian restoran halal di Bangkok, Thailand.
Keputusan itu menarik perhatian warganet yang menyifatkan alasan diberikan agak menggelikan hati.
Malah ada yang menjadikan berita itu sebagai bahan lawak.
Ini bukan kali pertama alasan sedemikian digunakan figura umum bagi mendapatkan pelepasan sementara pasport ketika berdepan perbicaraan.
Harapan Daily senaraikan tiga ahli politik yang pernah beri alasan menggelikan hati demi mendapatkan pelepasan pasport. Senarai ini dipetik dari Majoriti.
1) Rosmah Mansor mahu lawat anak di Singapura
Mahkamah Rayuan pada 15 Jun lalu membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkannya melawat anaknya, Nooryana Najwa Mohd Najib dan keluarga di Singapura.
Anak perempuannya itu dilaporkan menetap di Singapura selepas berkahwin dengan warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbaye.
Itu merupaan kali ketiga Rosmah diberi kebenaran sementara mendapatkan pasport antarabangsanya untuk ke Singapura.
Kali pertama beliau mendapat pelepasan sementara itu pada 15 Oktober 2021 untuk melawat Nooryana yang melahirkan anak keduanya.
Kali kedua pada 21 Mac, untuk melawat anak dan cucunya yang tidak sihat.
Rosmah ketika itu sedang menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
2. Najib Razak mahu lihat cucu lahir
Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan semula pasportnya bagi kegunaan sementara.
Ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu ke Singapura untuk melawat anak perempuannya yang ketika itu bakal melahirkan anak kedua.
Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas mendapati terdapat alasan yang munasabah.
Pada waktu itu, Najib sedang berdepan dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan selepas disabitkan bersalah dalam perbicaraan kes SRC International bernilai RM42 juta.
3. Zahid Hami, sukar laksana tugas jika tiada pasport
Mahkamah Tinggi pada 3 Februari menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya pasport antarabangsanya dikembali secara kekal, bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.
Hakim membuat keputusan itu selepas menekankan Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua individu sama di sisi undang-undang dan tiada sesiapa atau golongan masyarakat yang boleh diberi keistimewaan serta melangkaui undang-undang.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelepasan sementara bagi membolehkan Presiden Umno itu untuk membuat pasport diplomatik atas urusan rasmi.
Sebelum itu, Ahmad Zahid dalam permohonannya bagi mendapatkan pelepasan pasport kekal memaklumkan beliau mengalami kekangan untuk melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi, Ahmad Zahid berkata, beliau dikehendaki berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport berada dalam pegangannya sendiri.
Beliau ketika itu sedang berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi
BACA JUGA Demi penuhi permintaan anak murid, Cikgu Fadli bawa Lamborghini ke majlis persaraannya