Demi penuhi permintaan anak murid, Cikgu Fadli bawa Lamborghini ke majlis persaraannya

Pngumuman persaraan seorang guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh selepas 18 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan, ternyata mengejutkan ramai dan membuatkan anak muridnya bersedih.

Berikutan itu semasa hari majlis persaraannya, Cikgu Fadli memenuhi permintaan anak-anak murid kesayangannya dengan membawa Lamborghini Aventador SVJ ke sekolah — sebagai salah satu ‘tanggungjawab terakhir’ seorang guru.

“Lama dah anak-anak ini minta saya bawa sportcar. Mula-mula ingat nak bawa Nissan GT-R saja. Tapi sahabat baik saya suruh bawa Lamborghini beliau.

“Ramai yang beritahu – Nanti besar saya nak beli Lamborghini jugalah. Berapa harga dia cikgu?

“Baguslah ada cita-cita tinggi macam ini. Lamborghini ini harga dia RM3 juta. Bayar muka RM1.6 juta, bulanan dalam RM24,000 sahaja. Cikgu yakin awak semua mampu suatu hari nanti.

“Harap 15-20 tahun lagi ada anak muda pakai Lamborghini kemudian cakap — “Kerana Cikgu Fadli bawa Lamborghini masa hari persaraan dia, saya tanam impian sejak sekolah rendah dan berjaya hari ini,” petik hantaran video TikTok Cikgu Fadli.

Dalam satu sesi siaran langsung selepas berita persaraannya tular, Cikgu Fadli menjelaskan bahawa keputusan itu telah dibuat sejak dua tahun lalu.

Keputusan untuk bersara dibuat kerana beliau tidak mahu berlaku biadap kepada dunia pendidikan yang sangat disayangi kerana sikapnya yang sering membuat teguran atas sebarang kelemahan yang dilihat.

Beliau turut menjelaskan selepas ini beliau akan fokus pada mengajar tutor secara atas talian dan membuat buku latih tubi. 

Cikgu Fadli juga akan meneruskan penjualan sambal ready-to-eat milik sahabatnya.

Terdahulu, beliau menerima surat ‘dibuang kerja atau turun pangkat’ daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2022.

Surat tersebut diberikan kepadanya atas dasar beliau yang lantang berkongsikan cadangan penambahbaikan yang boleh dibuat oleh pihak KPM untuk keselesaan pembelajaran dan masa depan yang lebih cemerlang buat anak-anak di sekolah.

BACA JUGA Selepas jenuh bantah silibus ‘gila’ Matematik, Cikgu Fadli angkat kaki