Infrastruktur air jamin peningkatan hasil padi
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peningkatan hasil padi bergantung kepada sistem infrastruktur air.
Menurutnya, naiktaraf sistem infrastruktur air amat diperlukan untuk mengairi kawasan penanaman padi.
“Saya lihat antara perkara utama yang perlu diberikan penekanan di banyak lokasi yang saya lawati adalah berkaitan dengan sistem infrastruktur air.
“Sebab itu, saya tekankan ia perlu dilaksanakan mengikut Strategi Pertama dalam PINTAR: Pembangunan Kapasiti Industri dan Infrastruktur,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi beliau.
Beliau menambah untuk meningkatkan hasil padi, naiktaraf sistem infrastruktur air lengkap dari sumber air hinggalah ke penyaluran air ke tengah bendang amat diperlukan terutama pembangunan sistem tersier yang tersusun untuk mengairi kawasan penanaman padi.
“Insya-Allah, hasil yang akan kita tuai nanti akan bertambah dan hasrat kita untuk mencapai SSL (tahap sara diri) pengeluaran padi negara akan tercapai,” tambah Mohamad lagi.
Negara dijangka mampu mencapai SSL bagi beras, tanpa perlu mengharapkan import dalam tempoh beberapa tahun lagi apabila pesawah berupaya mengeluarkan hasil sebanyak enam tan sehektar.
Usaha itu diyakini mampu dijayakan melalui skim SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperkenalkan kerajaan pada Februari 2021.
SMART SSB diperkenalkan bagi meningkatkan produktiviti padi dan beras negara dengan sasaran pelaksanaan program seluas 150,000 hektar.
BACA JUGA Padi SMART SBB Ala Sekinchan bakal diperluas tahun ini