MOF nafi Nurul Izzah dibayar RM35,000 sebagai penasihat Laksana

Kementerian Kewangan (MOF) menafikan dokumen tular mendakwa bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dibayar sebagai Penasihat kepada Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana).

Kementerian itu menerusi kenyataan di Facebook berkata, surat tular yang diuar-uarkan di media sosial adalah fitnah semata-mata.

“Dokumen Perjanjian yang diuar-uarkan ini merupakan sebuah draf tawaran yang tidak sah,” kata MOF di Facebook hari ini.

MOF berkata, perjanjian yang sah yang telah ditandatangani oleh Nurul Izzah adalah untuk memberi khidmat nasihat kepada Laksana secara ‘pro bono’ atau tanpa mengambil imbuhan kewangan mahupun sebarang faedah, seperti yang telah dimaklum kepada umum

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR menerima satu kiriman di laman sosial Facebook yang berbaur fitnah terhadapnya.

Hantaran tersebut mengatakan bahawa beliau telah dilantik sebagai penasihat Laksana dan menerima gaji sebanyak RM35,000 serta diberikan dua kakitangan dengan pendapatan antara RM5,000 hingga RM20,000.

Susulan itu, Nurul Izzah membuat laporan polis terhadap kenyataan berbaur fitnah berkenaan selain menegaskan bahawa tindakan menyebar maklumat palsu adalah pelanggaran di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

BACA JUGA ‘Undang-undang Islam dah mansuh’ – Pempengaruh PN