Isu Nik Elin: Hadi, Takiyuddin bukan tak faham, tapi buat-buat tak faham

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang cuba memberi bayangan bahawa pelbagai pindaan undang-undang sejak kebelakangan ini telah meninggalkan syariat Islam.

Menerusi tulisan dalam segmen Minda Presiden Pas, beliau memberi sindiran kepada para hakim dengan melabelkan kewujudan hakim yang ‘bijaksini’, bukan bijaksana.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau tidak terkejut jika Abdul Hadi tidak memahami isu tersebut kerana bekas Menteri Undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga gagal memahami isu itu dengan baik.

“Sesuatu yang tidak disentuh Hadi adalah kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam pada awal Disember 2024.

“Jawatankuasa ini diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, dan turut dianggotai oleh 10 ahli jawatankuasa yang lain. Sudah tentu jawatankuasa ini membantu untuk memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Saya yakin Hadi dan Takiyuddin sebenarnya faham, tetapi sengaja buat-buat tidak faham untuk menimbulkan ketakutan umat Islam demi kepentingan sempit mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

hadi

Semalam Abdul Hadi membidas kemunculan sesetengah hakim yang didakwanya mempunyai “kepala dan akal yang dipengaruhi pemikiran penjajah”.

Beliau tidak menamakan sesiapa namun menggelarkan kumpulan hakim berkenaan sebagai “bijaksini” atau bukan bijaksana.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, beberapa hakim terdahulu seperti bekas “lord president” (kini dikenali ketua hakim negara) Salleh Abas tidak pernah melayan tindakan yang mahu menyingkirkan syariat Islam.

Sementara itu Nik Nazmi berkata, Perlembagaan yang dikatakan Abdul Hadi sebagai undang-undang penjajah sebenarnya telah memelihara Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin hak-hak penganut agama dan kepercayaan yang lain.

Perlembagaan ini turut menyebut:

“Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988 memberi Mahkamah Syariah bidang kuasa berasingan daripada mahkamah sivil, menjadikan Mahkamah Syariah bebas daripada campur tangan mahkamah biasa dan dianggap setaraf.”.

Nik Nazmi berkata, Pas harus berhenti mengelirukan rakyat dengan menghina Perlembagaan yang telah menjadi asas kepada pembinaan Malaysia.

“Mempergunakan isu teknikal undang-undang untuk kepentingan politik, terutamanya berkaitan perihal agama adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

“Kempen seperti ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dan kebencian dalam kalangan masyarakat dan tidak akan membawa Malaysia lebih maju ke hadapan,” ujarnya.

BACA JUGA Sultan Sharafuddin titah hormati keputusan Mahkamah Persekutuan, jangan polemikkan lagi