Sultan Sharafuddin titah hormati keputusan Mahkamah Persekutuan, jangan polemikkan lagi

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam isu Nik Elin Zurina lawan kerajaan Kelantan, serta menghormati kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Baginda menzahirkan rasa khuatir apabila ada pihak yang memberi ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

Baginda juga mengambil maklum tentang pihak yang menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai “Black Friday” kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini.

“Terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut. Namun demikian terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

“Beta menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam .

“Di kesempatan ini, Beta ingin menasihatkan umat Islam di negara ini terutama kepada para alim ulamak dan para ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab di dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan umat Islam,” titah baginda ketika mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sempena mesyuarat kali ke-71 hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik yang tercetus ketika ini.

Teguran yang dibuat baginda juga tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak, namun, semua ahli politik dititah untuk tidak mengambil kesempatan mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam sehingga ianya menjadi modal kepada persengketaan politik.

“Isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah dari tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh kita selesaikan secara bersama,” titah Sultan Sharafuddin.

Dalam pada itu baginda bertitah telah menerima sembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam sedang meneliti persoalan yang berbangkit ini.

“Beta faham adalah menjadi satu amanah yang berat yang perlu dipikul oleh Jawatankuasa Khas ini.

“Namun Beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli Jawatankuasa ini serta dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini.

“Beta menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas ini dengan memberikan cadangan-cadangan yang berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan Jawatankuasa Khas ini melaksanakan tugas mereka,” titah baginda lagi.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa tidak perlu untuk mana-mana pihak berbalah secara terbuka di dalam perkara-perkara yang boleh diselesaikan dengan cara bermesyuwarah dan secara tertutup.

Baginda berpandangan, semua pihak perlu meraikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut secara ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul.

BACA JUGA Tidak berasas jika dakwa keputusan mahkamah menentang undang-undang syariah