Parodi Dd Chronicle: Pemuda AMANAH buat laporan polis
Pemuda AMANAH hari ini membuat laporan polis terhadap pempengaruh media sosial, Dd Chronicle berkait video parodi dilakukan yang didakwa mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah.
Ketuanya, Mohd Hasbie Muda berkata, video yang memaparkan Dd Chronicle menyatakan bahawa perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman merupakan fitnah.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Negara menggesa agar fitnah dan berita palsu dihentikan.
“Saya turut sertai laporan polis yang dibuat di IPD Putrajaya.
“Turut hadir Naib Ketua Pemuda, Asmaalif; Setiausaha Pemuda, Ustaz Shahir; PKom Pemuda Asim; Ketua Pemuda Terengganu, Wan Hasbi; Ketua Pemuda Sabah, Salleh; KP Putrajaya Dr Zulhusni serta aktivis Pemuda AMANAH Putrajaya.
“Hentikan fitnah. Hentikan berita palsu!” tegas Hasbie lagi.
Video parodi berdurasi tiga minit 55 saat yang dimuat naik oleh Dd Chronicle di media sosial itu mendapat kecaman hebat daripada warganet kerana dilihat mempersendakan agama serta menghina keputusan mahkamah.
Bagaimanapun, pempengaruh pro Perikatan Nasional (PN) itu tampil memohon maaf dan memadam semula video itu.
Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43, mengakui kesilapan berlaku kerana terlepas pandang serta tidak berhati-hati terhadap fakta walaupun hanya untuk video parodi.
Namun, rata-rata netizen berharap dia diheret ke mahkamah dan dikenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran terhadapnya.
BACA JUGA ‘Undang-undang Islam dah mansuh’ – Pempengaruh PN