Syarikat milik pemimpin didakwa untung RM5.7 juta beli jongkong emas Aman Palestin
Dua pemimpin kanan Aman Palestin Berhad didakwa telah membuat keuntungan lebih RM5.7 juta melalui syarikat yang dimiliki mereka menerusi pembelian jongkong emas untuk syarikat bukan berdasarkan keuntungan itu.
Menurut kertas dakwaan yang dikenakan ke atas mereka, Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Sufian Awang Piut, syarikat mereka, Samudra Champa Sdn Bhd membuat keuntungan besar melalui dana yang diberikan Aman Palestin.
Syarikat mereka, Samudra Champa, didakwa menerima RM39 juta dari Aman Palestin untuk pembelian jongkong emas untuk badan itu, namun harga mark up yang mereka perolehi adalah RM5.75 juta hasil urusniaga itu.
Sedangkan mereka berdua adalah ahli pemegang amanah di dalam Aman Palestin Berhad dan dalam masa yang sama mereka adalah pengarah kepada syarikat berkenaan.
Dalam kertas pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa telah curang memperdayakan Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin Berhad untuk menyerahkan wang tunai kepada mereka melalui Samudra Champa.
Mereka kemudiannya telah membeli jongkong emas dengan harga yang lebih rendah berbanding dengan wang yang diterima dari Aman Palestin,” yang mana Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin Berhad tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdaya sedemikian oleh kamu berdua.
“Oleh itu kamu berdua telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 174) dibaca bersama Sekseyen 34 kanun yang sama,” kata kertas pertuduhan yang diperolehi oleh Harapan Daily.
Hari ini, tiga pemimpin Aman Palestin Berhad, pengerusi eksekutif Abdullah Zaik Abdul Rahman, ketua pegawai eksekutif Awang Sufian Awang Piut dan pengarah syarikat Khairudin Mohd Ali berdepan sejumlah 164 tuduhan.
Ia melibatkan perbelanjaan wang berjumlah lebih RM85 juta yang dipungut dari orang ramai untuk badan itu.
BACA JUGA Pimpinan Aman Palestin berdepan 164 tuduhan, salah guna dana RM85 juta