Pengumuman Beras Putih Malaysia Madani hanya cadangan Syed Abu Hussin
Pengumuman bahawa Beras Putih Malaysia Madani akan dijual pada harga RM30 untuk kampit 10 kilogram oleh Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Makanan di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hanya cadangan jawatankuasa tersebut sahaja.
Menurut sumber Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kenyataan rasmi akan dibuat sebaik sahaja Menteri Datuk Seri Mohamad Sabu kembali dari Iran pada 23 Februari.
Sumber tersebut berkata kementarian akan berbincang dengan semua pemegang taruh dan pemain industri berhubung cadangan tersebut.
“Itu cadangan pihak dia (Pengerusi Naccol, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal) kononnya nak buat satu gred (beras) dengan satu harga.
“Menteri sekarang berada di Iran, beliau akan pulang ke Malaysia pada 23 Februari (Jumaat depan). Selepas pulang nanti menteri akan keluarkan satu kenyataan berkait perkara itu.
“Kita juga akan panggil semua pemain industri selepas kepulangan menteri, sebab kita dapat maklum balas semua pemain industri tidak menyokong cadangan itu sebab ia akan merosakkan industri,” katanya, lapor Scoop.
Harga ditentukan oleh kementerian
Semalam Syed turut berkata kategori beras putih tempatan dan beras putih import akan dimansuhkan.
Syed berkata beras putih Malaysia Madani akan berada di pasaran pada 1 Mac.
Menurut sumber sebarang kenaikan harga beras mesti melalui Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan atau Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras.
“Kalau ikut akta, ia tidak dibenarkan… tidak boleh ada pihak lain yang bertanggungjawab dalam hal ini.
“Dia (Syed Hussin) boleh menasihati kerajaan tetapi tertakluk kepada kerajaan sama ada nak bersetuju atau tidak.
“Dia juga kata Perdana Menteri turut bersetuju. Persoalannya, adakah ada hitam putih daripada PM sendiri?. Kenyataannya mengejutkan semua orang, jadi kita tunggu menteri balik dahulu,” katanya.
BACA JUGA Kategori beras putih tempatan, import dimansuhkan