Sikap Pas dalam kes Nik Elin serlahkan sifat Khawarij

Oleh AHMAD MURSI

Hadi kata kes Nik Elin ialah tindakan lawan syariat Allah yang bererti melawan Allah dan kuasa besar seperti Firaun yang lawan Allah telah dihancurkan.

Saya setuju pentadbiran syariah diperkasa, tetapi sejak apabila hukum takzir yang digubal dengan kadar hukuman yang ditetapkan oleh wakil rakyat dianggap ‘syariat Allah’ yang qat’iey? Ini bukan hudud dan qisas.

Islam hanya tetapkan secara khusus hukuman hudud dan qisas. Lebih 90 peratus hukuman ditentukan oleh pemerintah mengikut maslahah yang kita panggil takzir.

Contohnya, jenayah sumbang mahram dengan hukuman maksimum 3 tahun penjara, bila masa pula Islam tetapkan secara khusus jumlah 3 tahun itu?

Jika undang-undang sivil tetapkan hukuman maksimum 30 tahun untuk kesalahan sama, kenapa pula Pas anggap ini bersalahan dengan ‘syariat Allah’?

Kalau ada kesilapan pada undang-undang yang dibuat DUN Kelantan, tidak boleh langsung ke dicabar, diperbaiki dan kenapa pula Pas anggap itu ‘lawan Allah’?

Kes Nik Elin ini isu DUN melangkaui bidang kuasa menyebabkan pertindihan enakmen dan akta.

Bukan DUN sahaja buat undang-undang syariah, Parlimen juga ada menggubal akta-akta syariah untuk Wilayah. Akta-akta Sivil Parlimen juga memenuhi maslahah dan objektif Syariah.

Nik Elin

Haji Hadi cuba menggambarkan undang-undang sivil itu undang-undang kafir, dan undang-undang syariah di Malaysia sahaja adalah undang-undang Islam dan syariat Allah. Ini ajaran salah.

Adakah Haji Hadi anggap undang-undang rasuah dan undang-undang berkaitan jalan raya dalam undang-undang sivil itu undang-undang kafir dan tiada kaitan dengan syariah?

Sama seperti dulu 80an Haji Hadi doktrinkan ‘Perlembagaan penjajah, peraturan kafir dan jahiliyyah’ dalam Amanat Haji Hadi tahun 80an. Mati syahid jika lawan menentang puak-puak UMNO sebab ini.

Jika Mufti Perlis katakan ini pemikiran ISIS. Saya katakan inilah fikrah Khawarij dan akan jahanamkan negara jika tak dibendung.

Selepas keputusan kes Nik Elin, insiden kafir mengkafir bertambah di media sosial dan group WhatsApp dengan tuduhan kononnya pihak lain melawan syariah dan menentang Allah.

Terbaharu, Haji Hadi menulis menghina hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang terlibat dalam kes ini seolah-olah lebih teruk dari Hakim Inggeris dan tidak peka dengan Islam.

Dulu dia seru Pas lawan ‘Perlembagaan Penjajah’. Kini dia puji pula hakim Inggeris.

Tugas hakim dan mahkamah ialah mentafsir undang-undang yang dibentang di depan mereka dan digubal oleh ahli politik seperti Haji Hadi.

Dia tidak boleh salahkan Hakim membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan itu.

Jika ada yang tidak kena dengan undang-undang itu, pindalah kerana undang-undang ini sifatnya hidup dan yang mati hanya otak pemimpin Pas.

Hal ini boleh selesai jika Pas tidak makan gaji buta semasa kerajaan Tebuk Atap 33 bulan dulu.

BACA JUGA Video peguam muda ini perjelas isu Nik Elin dapat lebih 5 juta tontonan