Tidak berasas jika dakwa keputusan mahkamah menentang undang-undang syariah

AMANAH menegaskan sebarang dakwaan bahawa keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan sebagai menentang undang-undang syariah, adalah tidak berasas.

Presidennya Mohamad Sabu berkata, AMANAH menyokong keputusan mahkamah tertinggi itu di dalam kes Nik Elin Zurina yang mana 16 peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan adalah terbatal kerana ia melangkaui bidang kuasa negeri.

Mohamad berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan langsung tidak merungkai atau menghakis bidang kuasa Mahkamah Syariah

“Maka, apa-apa dakwaan bahawa keputusan kes tersebut menentang undang-undang syariah adalah tidak berasas dan ianya satu permainan sentimen yang dilakukan sesetengah pihak untuk mengelirukan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Mohamad berkata, AMANAH mengambil maklum dalam kes Mamat Daud vs. Kerajaan Malaysia(1988), di mana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa seksyen 298A Kanun Keseksaan terbatal kerana tidak beperlembagaan memandangkan kesalahan berkaitan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri dan mahkamah syariah.

Mengambil kira kes itu katanya, ia menunjukkan undang-undang sivil juga boleh terbatal apabila melangkaui bidang kuasa seperti mana senarai-senarai Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Kata Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu, fungsi mahkamah harus dihormati bagi menjamin kestabilan pentadbiran negara yang berpegang kepada pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman.

Perkara 4(1) menyatakan dengan jelas bahawa apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan adalah terbatal.

“Justeru, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut mengikat rakyat Malaysia kerana fungsi mahkamah adalah menafsirkan undang-undang,” ujarnya.

Dalam pada itu Mohamad berkata, undang-undang syariah tetap akan diperjuangkan AMANAH untuk diperkasakan supaya kedudukan dan pelaksanaan setiap undang-undang syariah dijalankan secara berhikmah, harmoni dan selamat tanpa terbatal kerana tidak berpelembagaan.

AMANAH juga pada masa sama menggesa agar Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Mengubal Undang-undang Islam diperkasakan sebagai platform konsultansi dan badan advokasi berautoriti ke atas negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan dalam memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah.

Ini supaya apa juga pindaan atau penggubalan peruntukan baharu undang-undang syariah menjadi lebih harmoni, seragam dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dengan melibatkan semua wakil negeri-negeri dan Persekutuan.

BACA JUGA Tulisan Hadi Awang menghina institusi kehakiman, Perlembagaan – Pemuda AMANAH