Tulisan Hadi Awang hina institusi kehakiman, Perlembagaan – Pemuda AMANAH

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda menempelak tulisan terbaharu Presiden Pas yang didakwa menghina institusi kehakiman dan Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi Minda Presiden Pas, menyebut bahawa “kini muncul kalangan hakim yang ‘bijaksini’ (bukan bijaksana) yang kepala dan akalnya dipengaruhi oleh tulisan warisan penjajah”.

Menurut Hasbie, tulisan Abdul Hadi itu satu bentuk penghinaan yang amat jelas terhadap institusi Kehakiman dan Perlembagaan negara.

“Abdul Hadi sebagai ahli Parlimen yang mengangkat sumpah untuk menjunjung Perlembagaan, sepatutnya beliau memahami pentingnya menghormati keputusan mahkamah yang berpandukan Perlembagaan yang serupa,” katanya dalam kenyataan.

Artikel Abdul Hadi disiarkan sewaktu pelbagai pihak memberikan reaksi terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 baru-baru ini.

Ia juga disiarkan pada hari yang sama selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran bahawa pihaknya sedang memantau reaksi orang ramai terhadap kes tersebut.

Hasbie berkata, Ahli Parlimen Marang itu sepatutnya mencontohi seruan Pemuda Pas dalam kes Iki Putra ketika parti tersebut menjadi sebahagian kerajaan, yang mana sayap pemuda itu menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menerima keputusan Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga mendakwa kegagalan sebenar adalah pada Presiden Pas itu sendiri kerana tidak pernah meminda Perlembagaan ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

“Walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, Abdul Hadi sebagai seorang ahli Parlimen yang cukup lama sewajarnya faham keputusan Hakim adalah berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

“Kegagalan sebenar adalah pada sosok Abdul Hadi sebagai ahli Parlimen yang pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Namun tidak ada usaha untuk meminda Perlembagaan, sekaligus mencerminkan dirinya bersikap sambil lewa dalam menjalankan peranan sebagai seorang ahli legislatif,” tambah Hasbie lagi.

BACA JUGA Video peguam muda ini perjelas isu Nik Elin dapat lebih 5 juta tontonan