Ratu Naga tidak ditahan, beri keterangan sahaja

Pempengaruh Perikatan Nasional Syarul Ema Rena Abu Samah, atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga, tidak ditahan sebaliknya dipanggil untuk memberi keterangan, jelas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.

Menurutnya, Ratu Naga disiasat ekoran dakwaan bahawa dia telah menerima beberapa peratus hasil kutipan sumbangan yang diberikan kepada sebuah badan bukan kerajaan.

“Saya mengesahkan dia dipanggil untuk memberi keterangan dan kita turut membuat pemeriksaan di premisnya.

“Setakat ini, dia masih memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya dan belum ditahan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Peguam pempengaruh, Nabila Khairuddin sebelum ini mengesahkan Ratu Naga ditahan selepas SPRM menyerbu rumahnya di Jalan Klang Lama sekitar 9 pagi.