Mesir tidak terima pelarian Palestin tetapi bersedia layan dengan perikemanusiaan

Mesir sama sekali tidak akan menerima pelarian Palestin tetapi bersedia melayan mereka dengan penuh perikemanusiaan, kata Menteri Luarnya, Sameh Shoukry.

“Bukan hasrat kami untuk menyediakan kawasan selamat atau kemudahan lain, tetapi jika wujud sebarang keperluan, kita akan tangani dengan perikemanusiaan yang diperlukan,” katanya di Persidangan Keselamatan Munich, Jerman dipetik Agensi.

Kelmarin, Mesir dilapor sedang menyediakan kawasan dekat sempadan Gaza bagi menempatkan pelarian Palestin jika Israel menyerang Rafah, sekali gus memaksa mereka melintasi sempadan.

Media Amerika Syarikat (AS) dan badan pemantau hak asasi Mesir turut mendakwa kem penempatan bertembok tujuh meter sedang dibina di Semenanjung Sinai untuk menerima rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza yang kehilangan tempat tinggal.

Bagaimanapun ia dinafikan Mesir, malah Israel yang sudah empat bulan memerangi Hamas, berkata tiada rancangan untuk memindahkan penduduk Palestin ke sana, ketika ia sedang bersedia melancarkan serangan di Rafah.

The Wall Street Journal melaporkan, ‘kawasan bertembok’ seluas 21 kilometer persegi sedang dalam pembinaan di sebelah sempadan Mesir.

Pembangunan itu dikatakan adalah sebahagian daripada pelan kontingensi jika rundingan gencatan senjata di Kaherah gagal dan ia boleh menampung lebih 100,000 orang.

Bagaimanapun, Shoukry menafikannya dengan berkata semua itu hanya andaian dan menjelaskan mereka sebenarnya hanya menaik taraf infrastruktur di sempadan, yang tiada kaitan dengan pelarian Palestin.

Sementara itu, Gabenor Sinai Utara, Mohamed Shousha, berkata pembinaan yang dimaksudkan itu adalah projek pihak tentera membina zon logistik bagi menerima penghantaran bantuan untuk Gaza.

“Tapak itu terletak di atas runtuhan rumah penduduk Mesir yang dirobohkan semasa perang negara itu menentang pemberontak Islam di utara Sinai sedekad lalu.

“Kerja pembinaan sekarang adalah untuk menilai kemusnahan rumah ketika pergolakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bagi tujuan membayar pampasan sewajarnya kepada pemilik sebelum kawasan itu dibangunkan.

“Ia termasuk kawasan meletak trak, gudang, pejabat pentadbiran dan penginapan untuk pemandu,” katanya.

Mesir sudah berulang kali memberi amaran mengenai pencerobohan pelarian Palestin memasuki Sinai jika Israel menyerang Rafah, yang Kaherah tegaskan sama sekali tidak dapat diterima, seperti mana amaran diberi oleh negara Arab lain termasuk Jordan.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata, jika itu berlaku ia boleh menjejaskan perjanjian damai yang ditandatangani Mesir dengan Israel pada 1979.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant kelmarin berkata, negara pembunuh tersebut tidak berniat untuk memindahkan orang awam Palestin ke Mesir kerana menghormati perjanjian damai negara itu dengan Mesir.

BACA JUGA Malaysia tuntut Israel hentikan serangan di selatan Rafah