Raghad buat laporan polis, nafi bawa lari Taib Mahmud
Toh Puan Raghad Kurdi Taib akhirnya tampil membuat laporan polis selepas dua minggu membisu berhubung dakwaan membawa lari suaminya yang juga bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dari hospital tanpa kebenaran doktor.
Dalam satu kenyataan hari ini, Raghad menyatakan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk mendakwa Hospital Normah, di mana Taib dirawat di Kuching, “jika perlu”.
Raghad berkata dakwaan dalam laporan yang difailkan pada 4 Februari lalu, adalah “jelas palsu dan amat membimbangkan”.
“Saya telah membuat laporan polis untuk menolak dakwaan yang tidak berasas ini dan melindungi privasi Tun Taib dan haknya untuk memilih penjagaan perubatan.
“Kami benar-benar bersedia untuk bekerjasama dengan polis dalam apa juga siasatan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hospital Normah jika perlu,” katanya.
Terdahulu, Taib dilaporkan sedang dirawat di unit rawatan rapi Pusat Pakar Perubatan Normah apabila Raghad didakwa membawanya keluar dari hospital pada petang 3 Feb.
Menurut laporan polis yang dibuat oleh doktor, Raghad didakwa telah mencabut peranti perubatan yang melekat pada Taib tanpa memaklumkan kakitangan hospital.
Dia kemudian diletakkan di atas kerusi roda dan dibawa keluar dari hospital.
Dalam kenyataan akhbar hari ini, Raghad bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak membawa lari suaminya dari hospital tanpa kebenaran doktor.
Raghad berkata bahawa beliau telah memberitahu doktor yang bertanggungjawab di hospital swasta di Kuching, yang beliau kenal sebagai Dr Tan Sian Kong, tentang janji temu suaminya di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
“Dr Tan meluluskan discaj dan melihat Taib boleh melakukan perjalanan. Surat rujukan Dr Tan ke Hospital CVS Kuala Lumpur membuktikan lagi kesahihan discaj dan kemasukan yang dirancang.
“Keputusan untuk membawa pulang Taib adalah berdasarkan persetujuan termaklum dan haknya untuk memilih penjagaan terbaiknya.
“Semua dokumen discaj yang diperlukan mengikut prosedur hospital telah ditandatangani dan semua kakitangan hospital yang berkaitan mengetahui tentang discaj itu.
“Dalam keselesaan di rumah sendiri, dia mempunyai sokongan perubatan 24 jam (termasuk jururawat dan lawatan doktor berjadual), peralatan yang diperlukan, dan ubat-ubatan untuk penjagaan dan pemulihan sementara menunggu kemasukan ke Hospital CVS Kuala Lumpur di bawah jagaan Dr Rosli,” katanya.
Raghad juga menafikan dia bertindak mencabut peranti perubatan tanpa memaklumkan kakitangan yang bertugas.
“Permintaan bantuan dalam untuk mencabut peranti perubatan tidak diendahkan oleh kakitangan hospital walaupun berkali-kali diminta.
“Layanan buruk dan nasihat perubatan yang tidak konsisten adalah isu serius yang perlu diteliti dan disiasat oleh pihak hospital.
“Tuduhan palsu telah menyebabkan tekanan dan kekeliruan yang tidak perlu,” tambahnya.
Sementara itu, laporan polis kedua oleh ahli keluarga Taib yang lain dilaporkan telah dibuat pada Ahad, 4 Feb berdasarkan laporan pertama.
Menurut laporan polis kedua, tiada seorang pun daripada adik-beradik atau empat anak Taib dimaklumkan tentang keberadaan dan keadaan kesihatannya.
Susulan itu, Raghad mengeluarkan kenyataan di Instagram menafikan dia membawa suaminya keluar dari hospital tanpa kebenaran doktor.
Dia mendakwa mempunyai bukti dalam bentuk nota jururawat tulisan tangan.
Dia kemudian mendakwa bahawa dia menjadi sasaran fitnah jahat yang cuba memburukkan imejnya.
Raghad juga menafikan tuduhan bahawa dia merancang untuk meninggalkan negara itu.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain kemudian pada 7 Feb mengulas bahwa dakwaan Taib telah diculik dari hospital adalah tidak masuk akal.
BACA JUGA Pembangkang akan terus perbodoh rakyat, rakyat usah terperdaya provokasi kartel