RUU355 bakal dibentang di Parlimen tahun ini

Laporan sesi libat urus mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, sesi libat urus itu yang dikendalikan oleh Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah pun berada di peringkat akhir.

“Setakat ini, libat urus yang dilakukan telah berjalan.

“Semua negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri telah dijemput menghadiri sesi libat urus tersebut.

“Saya difahamkan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff bahawa libat urus itu di peringkat akhir.

“Jadi, laporan belum lagi disediakan dan mereka akan sediakan laporan libat urus itu kepada saya,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, pagi tadi.

Sebelum ini, media melaporkan kertas cadangan RUU itu sudah berada di peringkat Jabatan Peguam Negara, namun tidak sempat dibentangkan berikutan Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022.

BACA JUGA Keputusan kes Nik Elin v Kerajaan Kelantan percepatkan reformasi undang-undang syariah