Apa sebenarnya pembangkang mahukan?

Oleh NORMAN RADZUAN

Saya tertanya-tanya kenapa pembangkang yang ada sekarang ini terlalu lemah hingga tidak membantu sebagai semak dan imbang untuk kerajaan?

Hari-hari kedengaran isu Cina, Cina, Cina. Akhirnya, apa sahaja isu orang Melayu akan dikaitkan dengan Cina.

Ia tidak bagus untuk keharmonian negara. Jika ini saja modal pembangkang ia sangat tidak bertanggungjawab untuk keamanan negara.

Hingga isu baru-baru ini sebuah surau di Ipoh tular di media sosial dapat dilihat bagaimana rosaknya pemikiran orang Melayu angkara permainan orang politik.

Apa kena mengena dengan orang DAP, orang kafir, orang Cina dalam isu ini.

Seorang lelaki berserban tidak habis-habis mengatakan ia angkara orang kafir. Bahaya jika kerajaan tidak ambil serius tangani isu 3R ini.

Isunya sama sahaja dengan kes Nik Elin iaitu bermula di era pemerintahan PN lagi iaitu pada April 2021 lalu.

Jawatankuasa Surau Al-Karamah, dekat Pasir Puteh Ipoh memohon campur tangan MAIPk, Menteri Besar serta Pejabat Tanah dan Galian Perak untuk menghalang tindakan merobohkan surau itu bagi memberi laluan kepada projek perumahan.

Bantahan itu kemudiannya mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin yg memberi perkenan agar surau tersebut tidak dirobohkan sehingga surau baharu siap dibina.

Sekarang surau baru yang jauh lebih baik telah disiapkan.

Masalahnya, kenapa tidak mahu berpindah dengan alasan tidak tahu, tidak ada surat mahkamah dan sebagainya?

Sedangkan Jawatankuasa Surau sudah tahu sejak 2021. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah maklumkan perkara itu telah mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Fatwa negeri.

Katanya mereka patut berlapang dada malah mendapat surau yang lebih besar dan moden. Bukan tidak diganti dan bukannya jauh sangat dari tapak sekarang. Akhirnya DAP pula dipersalahkan?

Pelik sikap manusia sebegini sedangkan Sultan bertitah pastikan surau baru disiapkan dahulu baru dirobohkan. Sengaja mengambil peluang politik.

BACA JUGA ‘Sampai bila pembangkang nak main sentimen kaum dan agama?’