Kadar defisit fiskal akan dikurangkan kepada 4.3 peratus tahun ini

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kerajaan Perpaduan akan berusaha mengurangkan kadar defisit fiskal negara kepada 4.3 peratus pada tahun ini.

Jurucakap kepada kerajaan Madani itu berkata, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 5.6 peratus pada 2022 kepada lima peratus tahun lalu.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tiga peratus pada suku keempat 2023 walaupun berdepan persekitaran luar yang sangat mencabar.

Sehubungan itu, jelasnya, bagi memastikan negara berada dalam landasan ekonomi yang tepat, tiga asas ekonomi iaitu pelaburan perlu diutamakan selain peluang pekerjaan baharu perlu diberi fokus dan harga barang hendaklah terkawal.

“Kalau lihat pada ketiga-tiga asas ini, insya-Allah kita di landasan ekonomi yang tepat.

“Kadar pengangguran menurun, inflasi menurun dan FDI (pelaburan langsung asing) meningkat,” ujarnya lagi.

Dalam hantaran sama, Fahmi juga berkongsikan infografik pencapaian perkembangan ekonomi negara bagi suku keempat 2023.

Berdasarkan infografik itu, jumlah FDI merekodkan pelaburan mencecah RM17.1 bilion.

BACA JUGA Ekonomi tidak akan jadi lebih teruk seperti zaman Mahiaddin