Palestin akhirnya akan dibebaskan oleh Eropah, bukan Islam

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu membayangkan Palestin akan dibebaskan oleh negara-negara Eropah yang begitu mengambil berat soal hak asasi dan kemanusiaan, ‘tidak seperti di negara-negara Islam’.

Beliau kecewa apabila dunia Islam terutama negara-negara Arab, kebanyakannya mendiamkan diri terhadap kezaliman dan kekejaman Israel.

Katanya, jika pun pemimpin negara-negara Islam khasnya negara Arab tidak mampu berperang dengan Israel, mereka harus bertindak menyatakan kebencian yang berterusan terhadap kezaliman Israel.

Tetapi kata beliau, ada kalangan negara-negara Islam terus berdagang dengan Israel dan membekalkan segala bentuk peralatan ketenteraan termasuk meneruskan kerjasama ekonomi dengan regim zalim tersebut.

“Ini yang berlaku terhadap dunia Islam hari ini. Bahkan saya melihat bahawa gelombang (pembebasan) hanya bangkit di Eropah.

“Palestin akan dibebaskan oleh bangsa Eropah kerana mereka begitu mengambil berat soal hak asasi dan kemanusiaan. Tidak seperti di negara-negara umat Islam.

“Terbaharu berlaku di Kanada dan di negara Eropah lain, di mana Ahli-ahli Parlimen mereka bangkit menyatakan kemarahan terhadap Israel,” katanya dalam satu Nota Presiden di laman Facebook hari ini.

Palestin

Mohamad menegaskan bahawa mengutuk kezaliman Israel sahaja tidak cukup kerana gerakan pemimpin-pemimpin Islam khususnya negara Arab perlu bangkit segera membebaskan umat Palestin sebagaimana kebangkitan rakyat Eropah.

Beliau berkata, mengutuk Israel tanpa diiringi sebarang tindakan sama sahaja seperti memberitahu bahawa Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia atau Bangkok itu ibu negara Thailand.

“Semua orang tahu bahawa Israel itu jahat dan keganasan mereka disokong oleh kuasa-kuasa Barat.

“Masalah yang berlaku sebenarnya adalah dunia Islam, khasnya negara-negara Arab, kebanyakannya mendiamkan diri terhadap kezaliman dan kekejaman Israel. Ini yang pelik

“Sedangkan mereka mengetahui ayat Al Quran:
“innamal mukminunna ikhwah, fa ashlihu baina akhawaikum”.

“Tetapi ayat al-Quran yang dibaca ini seolah-olah menjadi penghibur hati di dalam majlis, hanya untuk menunjukkan bahawa umat Islam itu bersatu,” ujarnya lagi.

BACA JUGA PM ziarah Menteri Ekonomi di hospital