Pemimpin NGO Islam tersenarai dalam FBI, KDN sedang dapatkan gambaran tepat

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mendapatkan gambaran sebenar daripada pihak berkuasa selepas tiga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini didakwa disenaraikan dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau sudah menghubungi Ketua Polis Negara Razarudin Husain berhubung perkara itu.

Jelasnya, apa yang diketahui adalah FBI membuat permohonan berkaitan perkara itu dan KDN sedang berusaha untuk melakukan semakan fakta yang tepat terlebih dahulu.

“Saya pun baru mengetahui perkara itu dua hari lepas dan sudah menghubungi Ketua Polis Negara untuk dapat gambaran tepat. Apa yang kita tahu ialah FBI membuat permohonan berkaitan perkara itu, jadi kita kena semak dahulu fakta yang tepat.

“Saya tak bersedia beri fakta tangkap muat atau samar-samar,” katanya memetik Bernama pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari Malaysia yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC oleh FBI.

Susulan itu, Kementerian Luar mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari sebelum ini mengesahkan kesahihan surat pemakluman berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat.

Ops Ihsan diilhamkan bekas Menteri Luar Zambry Abdul Kadir sebagai platform kerjasama antara Kementerian Luar dan NGO bagi menggerakkan sokongan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

BACA JUGA Takiyuddin MP pertama ditegur terang-terangan oleh Agong dan Sultan