Takiyuddin MP pertama ditegur terang-terangan oleh Agong dan Sultan

Bukan kali pertama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dianggap tidak menghormati pemerintah paling tertinggi iaitu institusi Raja-Raja Melayu.

Takiyuddin pemimpin Pas pertama yang pernah ditegur terang-terangan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan Sultan Selangor atas perbuatan tidak menghormati institusi itu.

Kes yang pertama ketika Takiyuddin mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen tanpa perkenan baginda Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al Sultan menerusi kenyataan rasmi Istana Negara, menzahirkan rasa amat duka cita kerana pembatalan itu belum lagi diperkenan baginda.

Kedua, adalah ketika Takiyuddin mengisytiharkan ‘Jumaat yang hitam’ selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen jenayah syariah Kelantan, 9 Februari lalu.

Takiyuddin

Perkara itu mendapat teguran langsung dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, baginda bertitah kenyataan seperti ‘Jumaat hitam’ itu menimbulkan polemik sehingga mengelirukan umat Islam.

Bagaimanapun selepas Sultan Sharafuddin membuat teguran itu, Takiyuddin tetap mempertahankan kenyataannya.

Dalam sidang media semalam, Takiyuddin berdalih, mengatakan bahawa ia adalah respons biasa yang dibuatnya selaku peguam apabila ada kes yang tidak berpihak kepadanya.

“Bila saya kalah kes, saya kata ‘ini Isnin yang hitam, atau Selasa yang hitam. Ia hari yang hitam untuk anak guam sanya,” katanya dalam nada bergurau ketika sesi dialog antara pemimpin Pas dengan media berbahasa Cina di Kuala Lumpur, semalam.

“Itu (hari yang) hitam untuk kami…kerana undang-undang kami di Kelantan diisytihar tidak sah dan tidak berperlembagaan,” katanya,” ujarnya.

Respon itu mendapat perhatian Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang menyifatkan perbuatan Takiyuddin yang ditegur terang-terangan oleh Sultan dan Agong, bukanlah satu perkara yang membanggakan

“Takiyuddin MP pertama ditegur terang-terangan oleh Yang di-Pertuan Agong Agong (kerana kelirukan Dewan) dan Sultan Selangot (kerana mempolitikkan keputusan Mahkamah).

“Bukanlah satu perkara yang patut dibanggakan,” ciapnya di aplikasi X.

BACA JUGA Kadar defisit fiskal akan dikurangkan kepada 4.3 peratus tahun ini