Tempoh sah laku pasport bakal hingga 10 tahun
Tempoh sah laku pasport Malaysia bakal dilanjutkan kepada 10 tahun berbanding lima tahun pada masa ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya sedang melaksanakan kajian bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, kajian itu dilakukan memandangkan kebanyakan negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura sudah berbuat demikian.
“Jabatan Imigresen dalam proses untuk melakukan satu kajian untuk memperkenalkan pasport dengan tempoh sah laku selama 10 tahun.
“Pasport kita sekarang (tempoh sah laku selama) lima tahun, sama ada kita nak kekal lima atau menuju 10 tahun, kita akan melakukan satu fasa kajian,” jelasnya.
Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury di Putrajaya, hari ini.
BACA JUGA ‘Jangan buat sebarang andaian, kesimpulan’ – Saifuddin