‘Undang-undang Islam dah mansuh’: Kes parodi pempengaruh PN dirujuk Peguam Negara esok
Polis sudah selesai merakam keterangan Dd Chronicle berhubung video parodinya didakwa mempersendakan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, rakaman percakapan suspek sudah diambil di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 10.15 pagi, 15 Februari lalu.
“Siasatan berkait kes ini dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyan 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya, lapor BH.
Susulan itu, beliau memaklumkan bahawa kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (KUJAKA), Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, esok.
Razarudin berkata, sebanyak 49 laporan polis diterima pihaknya terhadap Dd Chronicle di seluruh negara setakat jam 8 pagi hari ini
Aduan tertinggi, jelasnya, dicatatkan di Johor dengan 12 laporan, Pahang (lima) manakala masing-masing empat di ibu negara, Melaka, Perak dan Selangor dan masing-masing tiga di Sabah, Kelantan dan Kedah.
“Selain itu, masing-masing dua laporan di Negeri Sembilan dan Terengganu serta masing-masing satu di Perlis, Pulau Pinang dan Sarawak,” katanya lagi.
Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43, sebelum ini mengundang kemarahan orang ramai apabila didakwa mempersendakan Islam dan menghina mahkamah.
Video parodi terbaharunya dipercayai berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, baru-baru ini.
Video berdurasi tiga minit 55 saat itu memaparkan lelaki berketurunan Indonesia berkenaan berlakon membuka “kaunter pengakuan Mahkamah Sivil pandu lalu”.
Dia yang menjaga ‘kaunter pandu lalu’ itu berkata, menyatakan perbuatan minum arak dan berjudi, tidak akan dikenakan hukuman.
Katanya, minum arak bukan satu kesalahan selain menegaskan bahawa undang-undang Islam sudah dimansuhkan.
Untuk rekod, Dediy dikenali umum menerusi video lagu-lagu parodi termasuk memperleceh gabungan perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta menyuarakan sokongan kepada PN.
Susulan penyebaran video parodi itu, rata-rata warganet menyifatkan Dd Chronicles sudah melampaui batas dan menuntut menteri berkaitan tegas bertindak.
Dia dilihat mempermainkan hukum syarak, memperlekeh keputusan para hakim di Mahkamah Persekutuan serta tidak menghormati semangat Rukun Negara.
BACA JUGA ‘Undang-undang Islam dah mansuh’ – Pempengaruh PN