10 kontraktor didakwa buat ‘subcon’ projek tandas sekolah, ambil untung sampai berbelas ribu?

10 syarikat kontraktor didakwa telah disenarai hitam oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) atas dakwaan beberapa kesalahan berhubung tender tandas sekolah yang berjumlah RM70,000.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini memperuntukkan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara supaya tandas-tandas dibaiki dalam tempoh tiga bulan.

Kumpulan yang dikenali sebagai “Edisi Siasat” mendedahkan, 10 kontraktor telah disenarai hitam berikutan aduan dari guru besar dan pengetua sekolah seluruh negeri Sembilan.

Bagaimanapun tidak didedahkan sekolah-sekolah yang terlibat.

Tandas sekolah
Gambar hiasan

Kesalahan mereka antaranya melakukan subcon yang menyebabkan peruntukan RM70,000 untuk membaiki tandas sekolah tidak digunakan sepenuhnya.

“Contoh main-con dapat RM70,000. Main-con ambil RM15,000. Tinggal lah RM55,000 bagi dekat Subcon. Tak cukup untuk buat seluruh tandas sekolah.

“Kedua, kerja tidak berkualiti. Tidak mencapai spesifikasi projek

“Ketiga, hanya buat sedikit dari disasarkan. Contoh satu sekolah ada 10 tandas. Hanya buat dua atau tiga tapi tuntut semua harga tender yang diperuntukkan,” dedah kumpulan itu menerusi saluran aplikasi Telegram.

Cubaan kontraktor-kontraktor tersebut  menuntut harga penuh tender dipercayai gagal kerana tindakan para pengetua dan guru besar yang tidak menandatangani kelulusan peruntukan dan mengadu kepada Jabatan Pendidikan Negeri.

Hasilnya, JPN dilapor telah menghantar jurutera untuk memeriksa kualiti projek dan menyenarai hitam kontraktor tersebut.

Tahun lalu ketika media sosial dihidangkan dengan gambar dan cerita mengenai tandas sekolah yang kini serba cantik dan tampak eksklusif, namun masih terdapat luahan mengenai tandas sekolah yang langsung tidak dinaiktaraf.

Malah ada beberapa aduan yang dilihat sebelum ini, mendakwa kontraktor melakukan kerja ala kadar sehingga pengubahsuaian tidak memberi hasil seperti di sekolah-sekolah lain.

Edisi Siasat sebelum ini pernah beberapa kali membuat pendedahan mengenai salah laku dan aktiviti rasuah dalam kalangan penguat kuasa dan juga ahli politik di Malaysia sehingga membuatkan ramai tertanya-tanya.

Sehingga kini masih tidak diketahui individu di sebalik akaun tersebut.

BACA JUGA Nama kena petik sebab tak selesaikan isu air, setepek Taufiq balas walaun