Hasil bantuan Fahmi, komposer Ross Ariffin dapat diami PPR

Hasil bantuan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pemuzik dan komposer, Ross Ariffin, 62, kini bakal menghuni kediaman projek perumahan rakyat (PPR) Muhibbah di ibu kota.

Ross atau nama sebenarnya, Roslan Ariffin Jamil dilapor berkata, dia bersyukur dengan rezeki kediaman dimiliki itu dan menyifatkan ia sangat bermakna buat dirinya untuk meneruskan kehidupan.

“Ya, saya ada dapat rumah PPR Muhibbah, DBKL.

“Alhamdulillah, rezeki daripada Allah. Kediaman yang bagus dan saya amat bersyukur mendapatkannya untuk didiami tidak lama lagi. Kunci rumah, mungkin dapat minggu depan.

“Apapun, ini dilihat sebagai permulaan yang baik bagi saya untuk kembali berkarya.

“Perancangan memang ada, tapi perlahan-lahan dulu dan semoga semuanya baik-baik serta lancar,” dipetik Harian Metro.

Sebelum ini, komposer yang menciptakan lagu untuk penyanyi hebat tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, menjadi gelandangan selama tiga tahun.

Beliau juga pernah terpaksa mengutip sisa makanan ditinggalkan atas meja, malah kadangkala berlapar kerana tiada makanan.

Mengulas lanjut, penerima unit PPR daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu berkata, tiada apa lebih menggembirakannya ketika ini selain daripada berita gembira mendapatkan rumah di PPR Muhibbah itu.

Ross pernah menyertai orkestra di London sebagai pemain biola dan juga aktif sebagai pemuzik undangan.

Selain Siti Nurhaliza, beliau juga menciptakan lagu untuk Datuk Aishah, Jaclyn Victor dan Fauziah Latiff.

Antara lagu popular ciptaan Ross ialah ‘Dia’, ‘Kemaafan Dendam Yang Terindah’ serta ‘Kau dan Aku’ nyanyian Ning Baizura yang memenangi Anugerah Juara Lagu bagi kategori Pop Rock pada 1995.

BACA JUGA ‘Kami akan berusaha sedaya upaya bantu seniman’ – Fahmi