Pas beri peringatan termasuk kepada raja-raja, anggap Perlembagaan ada banyak ‘bom jangka’
Pas secara berterus terang “memberikan peringatan kepada penganut Islam supaya menjaga dan mempertahankan aqidah masing-masing”.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, peringatan itu bagaimanapun bukanlah menghina terutamanya kepada pengamal undang-undang malah raja-raja.
“Saya sekadar memberikan peringatan kepada penganut Islam supaya menjaga dan mempertahankan aqidah masing-masing, bukanlah menghina, khususnya pengamal undang-undang dan semua yang terlibat dengannya daripada kalangan para hakim dan peguam, termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bahkan raja-raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja,” katanya.
Peringatan Ahli Parlimen Marang itu terkandung dalam siri tulisannya, Minda Presiden hari ini bertajuk, “Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan”.
Dia yang terkenal dengan Amanat Haji Hadi di Banggol Peradong, Terengganu pada April 1981 itu juga menyifatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai “memiliki banyak bom jangka”.
“Kita telah dibekalkan oleh penjajah dengan Perlembagaan yang memiliki banyak bom jangka sebagaimana yang telah digubal oleh Suruhanjaya Reid.
“Perlembagaan itu dibentuk oleh penjajah ketika memberikan kemerdekaan yang tidak sempurna, yang tersurat dengan perkara-perkara yang masih menjajah fikiran kita bagi menyesatkan kita daripada Islam,” dakwanya.
Sehubungan itu, menerusi siri tulisannya Bil: 9 / 2024 itu juga, Hadi berpendapat, “kita” tidak harus “terikat dan dikongkong” dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Sepatutnya, kita tidak membaca Perlembagaan yang disediakan itu sehingga terikat dan dikongkong dengan perkara yang tersurat sahaja.
“Gunakanlah kebijaksanaan untuk memahami perkara yang tersirat menjadi aqidah dan iman kita dengan mentafsirkan perlembagaan atau menggunakan hak memindanya ke jalan yang betul mengikut petunjuk Allah secara istiqamah.
“Tidakkah sudah banyak perkara yang telah dipinda dalam Perlembagaan tersebut?” soalnya pula.
Walau bagaimanapun, dalam masa sama, Hadi berkata, negara telah menyaksikan adanya hakim-hakim veteran terdahulu yang telah melakukan kebijaksanaan dan mengemukakan cadangan mereka.
“Saya masih ingat bahawa Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim, Tun Salleh Abas, Tan Sri Harun Hashim, Prof. Nik Rashid, dan lain-lain mencadangkan perkara tersebut dalam beberapa seminar yang diikut serta oleh mereka,” kata Hadi lagi dalam artikel panjang sarat dengan deretan terjemahan ayat al-Quran itu.
BACA JUGA Wali Allah: Pemimpin Pas anggap umat alami musibah jika ‘hilang’ Hadi