Pemimpin jangan rakus, angkuh macam penjajah – PM Anwar

Perdana Menteri mengingatkan bahawa sebagai pemimpin tidak harus bersikap rakus, angkuh dan gelojoh seperti dilakukan pegawai dalam zaman penjajahan dahulu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin harus berusaha mengangkat martabat negara, membangunkan ekonomi, meneruskan mutu pendidikan dan kesihatan, membangunkan sektor pelancongan serta industri supaya rakyat boleh hidup dengan lebih selesa.

“Kita tahu tak akan berada di sini mengecapi nikmat merdeka jika tidak kerana jasa tokoh besar kita terdahulu (yang) sanggup menggadai nyawa, harta benda untuk mencari dan mencapai kemerdekaan untuk negara.

“Ini juga peringatan kepada pemimpin yang memikul amanah sekarang supaya belajar daripada elemen dan ciri positif serta baik daripada mereka (pemimpin terdahulu) serta tidak terheret dengan amalan kerakusan, keangkuhan dan kegelojohan (seperti) pegawai penjajah,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke-68 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir Melaka malam ini.

Turut hadir keluarga bekas pemimpin kemerdekaan, termasuk cucu Tunku Abdul Rahman, Tunku Muinuddin Putra; anak kepada Tun Abdul Ghafar Baba, Datin Seri Zainun; cucu kepada Tun VT Sambanthan, Kunjari Sambanthan serta cucu kepada Tun Tan Cheng Lock, Datin Paduka Tan Siok Choo.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, undang-undang tertinggi negara juga tidak menyisihkan kaum lain yang bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan negara walaupun Perlembagaan dilihat memberi keistimewaan kepada orang Melayu.

“Sebab itu dalam melakar Perlembagaan negara oleh pemimpin ketika itu, ditetapkan kedudukan Bahasa Melayu, agama Islam (sebagai) agama Persekutuan, hak keistimewaan (orang) Melayu dan kedaulatan raja Melayu.

“Tetapi tidak pernah disebut maksud untuk meremehkan hak orang lain, merendahkan darjat orang lain atau menghina mereka (kaum bukan Melayu).

“Ini kerana mereka diiktiraf sebagai warganegara yang sah bersama dalam Tanah Melayu dalam memperjuangkan kemerdekaan… ini pengajaran penting bagi negara kita,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Ramai puji PM Anwar tegas perangi rasuah