Pas dan Hadi mempunyai lebih banyak bom jangka

Sebuah parti yang menubuhkan kerajaan di negeri Che Siti Wan Kembang jahil perihal tugas perundangan tetapi ingin memberikan peringatan kepada pengamal undang-undang, pembuat undang-undang dan Raja-Raja Melayu.

Pelik bin ajaib penulisan presiden Pas Tan Sri Hadi Awang yang bertajuk “Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan”.

Penulisannya itu merendah-rendahkan perlembagaan persekutuan yang didakwa mempunyai banyak bom jangka.

Masalahnya ialah Pas sebagai parti politik jahil perundangan yang sebenarnya mempunyai lebih banyak bom jangka.

Hadi sendiri kelihatan berkenaan perlembagaan persekutuan meskipun beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Marang menggunakan Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada tajuk penulisannya dalam ruang Minda Presiden yang turut diterbitkan di dalam Harakah dan laman sosial medianya, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dijamin di dalam perlembagaan persekutuan.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan

Berikut adalah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan;

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam di Negeri itu.

(4) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

Hadi mudah lupa

Hadi mendakwa Suruhanjaya Reid yang menjadi penggubal perlembagaan terawal negara sebagai dibentuk oleh penjajah.

Malangnya seperti kata rakan baik beliau sekarang, Tun Dr Mahathir Mohamad, “Melayu mudah lupa”, Hadi juga lupa.

Hadi lupa bahawa Suruhanjaya Reid turut dianggotai oleh dua anggota Muslim iaitu Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan India BS Malik dan Hakim Mahkamah Pakistan Sheikh Hakim Halim Abdul Hamid.

Sejak perlembagaan kita dibentuk pada 1956, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda 61 kali.

Di mana Hadi waktu itu? Membisu seribu bahasa.

Mengikuti penulisannya, apa yang jelas di sini ialah Hadi pandai memetik ayat Quran dan dimasukkan ke dalam penulisannya.

Hadi dan Pas masih jahil dalam bidang membuat undang-undang. Jika mereka tidak jahil dalam membuat undang-undang, peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid tidak akan mempunyai kes untuk difailkan sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Hadi dan Pas masih jahil dalam membuat undang-undang. Oleh itu, 16 kesalahan syariah di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (I) Kelantan 2001 telah didapati bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Mungkin sahaja Hadi bagaikan Fred Flintstones di dalam rancangan kartun 1960an yang dijadikan filem The Flintstones.