Pemangku Sultan Johor sindir pengurusan Selangor FC, tak pernah kalahkan JDT
“4-0 away, 4-0 home, 2-0 home. Total 10-0 aggregate, kali terakhir JDT kalah dengan Selangor FC zaman Dato Subahan,”.
Komen terbaru pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Instagram officialjohor itu menjadi bualan ramai selepas menyindir pengurusan Selangor FC.
Tunku Ismail berkata, pencabar utama Harimau Selatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) iaitu Selangor tidak pernah menewaskan pasukannya dalam tempoh lapan tahun.
Malah, Tunku Ismail menerusi komen tersebut menyifatkan kejayaan Selangor FC mara ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) adalah atas hasil bantuan mata AFC MA Ranking yang diraih JDT.
“Masa itu bajet RM14 juta sahaja. Semenjak kroni FC ambil alih, JDT tak pernah kalah selama 8 tahun dengan Selangor baru.
“RM46 juta setahun kerajaan sokong dan masih gagal selama 8 tahun. Main ACL2 pun dengan bantuan JDT punya point sumbangan.
“Dan masih ‘berhalusinasi dan tak boleh terima hakikat’,” komennya.
JDT merupakan penyumbang mata terbesar AFC MA Ranking bagi tahun 2023 dengan 9.000 mata yang membolehkan Malaysia mendapat slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan ACL2 tahun 2025/26.
BACA JUGA Taib Mahmud meninggal dunia