Selepas Mirzan, Mokhzani Mahathir pula dapat 30 hari tambahan isytihar harta

Seorang lagi anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Mokhzani Mahathir telah mendapat kebenaran untuk melanjutkan tempoh pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lapor portal berita Scoop malam tadi, SPRM memberikan lanjutan 30 hari sama seperti Tan Sri Mirzan Mahathir.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi portal berita itu.

“Tan Sri (Mokhzani) telah memohon untuk melanjutkan tempoh pengisytiharan harta. SPRM akan benarkan tambahan 30 hari lagi,” katanya.

Dilaporkan, Mirzan dikehendaki mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya, sama ada dalam atau luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis dikeluarkan iaitu 18 Januari.

Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut Mirzan dan Mokhzani, mereka diminta untuk mengisytiharkan aset dari 1981, iaitu ketika Mahathir mula menjadi perdana menteri.

Namun mereka meminta masa yang lebih kerana mahu mengumpulkan maklumat selama 43 tahun itu sukar dan satu usaha yang mustahil.

BACA JUGA Pemangku Sultan Johor sindir pengurusan Selangor FC, tak pernah kalahkan JDT