Peniaga Pasar Siti Khadijah termenung pasar kosong, pengunjung lari ke Hatyai?
Peniaga-peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu mengeluh dek ketiadaan pengunjung walaupun pada cuti persekolahan yang bermula sejak 9 Februari lalu.
Suasana di pasar besar itu pada kelmarin didakwa agak lengang dengan beberapa peniaga kelihatan hanya duduk di kerusi sambil termenung menunggu orang ramai.
Mereka mendakwa, suasana sepi sejak pagi hari disebabkan ibu bapa lebih memilih untuk membawa anak-anak melancong ke Hatyai, Thailand.
Salah seorang peniaga berkata, kebiasaannya terdapat bas-bas persiaran yang membawa pelancong singgah ke Pasar Siti Khadijah, namun kali ini tiada satu pun bas yang datang.
“Tengok saya duduk dekat pasar, takdok ore dekat pasar. Kalau cuti sekolah ni selalunya penuh.
“Pakat gi mana (mereka)? Hatyai? Ohh biso. Sunyi. Takdok ore walaupun cuti sekolah.
“Ini tengok ni. Akak ni duk menung haa, sedih lah takdok ore. Ore ke hatyai, ore tak mari dah pasar Siti Khadijah. Hatyai beribu orang,” kata salah seorang peniaga dalam satu video, yang kemudian video itu dimuat naik pengguna Tiktok bernama Jaafar Harun yang.
Peniaga tersebut berkata, kebiasaannya pasar itu akan dipenuhi orang ramai sewaktu cuti sekolah, namun kali ini lengang dan tidak ramai yang datang.
“Kalau cuti sekolah, atas pasar ni memang lebat (pengunjung) hari-hari. Ni takdok eh. Takdok bas pun harini. Pakat pi Hatyai. Selalu kan bas hari-hari mari.
“Dari pagi sunyi. Berat nih,” katanya sambil menunjukkan beberapa dulang kuih muih yang masih belum habis jualannya.
Sementara itu meninjau di ruangan komen, pengguna mendakwa sikap peniaga di Kelantan yang gemar mengenakan caj mahal kepada ‘orang luar’, membuatkan ramai tidak mahu datang ke negeri itu.
Ada juga yang mengadu kawasan parkir sesak menyukarkan mereka untuk ke sana.
“Sesetngah peniaga bila tahu orang luar Kelantan, mereka akan naikkan harga kaw-kaw. Mungkin ini salah satu sebab orang tak nak datang,” komen chesiti786.
“Saya nk gi jah beli tapi payoh parking. 10 kali musing,” komen lain.
Bagaimanapun, ada yang mendakwa video yang dirakam diambil pada waktu petang ketika pengunjung beransur pulang.
Malah ada juga memberitahu, Pasar Siti Khadijah masih lagi meriah dan sesak pada hari video itu dimuatnaik.
Ada yang mendakwa video tersebut dirakam tahun lepas dan baru sahaja dimuat naik. Bagaimanapun individu memuat naik video tersebut tidak membalas pada komen-komen yang ditinggalkan.
BACA JUGA Radzi Jidin tak ada ‘locus standi’ untuk ulas prestasi ringgit – AMK