PKR, AMANAH, Umno, Pas ke Mesir, nyata sokongan Malaysia kepada Palestin

Tiga ahli Parlimen kerajaan dan seorang MP pembangkang dari Pas, menyertai Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin, dalam lawatan khas ke Mesir dari 21 hingga 24 Februari untuk mempamerkan sokongan penuh Malaysia terhadap Palestin.

Delegasi itu termasuk Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang/PKR), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik/Pas), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan/Umno) dan Senator Datuk Dr Mohd Hattta Md Ramli (AMANAH).

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, delegasi itu akan membuat lawatan ke lintasan Rafah-Gaza, di mana bekalan kecemasan dan bantuan kemanusiaan dari Malaysia disalurkan ke Gaza

“Penyelarasan ini dilakukan dengan kerjasama rapat bersama kerajaan Mesir dan Ops Ihsan,” menurut kenyataan itu.

Foto Facebook Hatta Ramli

Menurut Wisma Putra, antara program lain termasuk kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Luar Mesir, Hamdi Loza; pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Bulan Sabit Merah Mesir (ERC), Dr Rami Al Nazer dan lawatan ke hospital seliaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).

“Intipati perbincangan adalah mengenai kerjasama Malaysia untuk membantu rakyat Palestin di Gaza termasuk yang memerlukan rawatan perubatan di Mesir,” katanya.

Kementerian itu berkata, satu acara simbolik penyerahan sumbangan rakyat Malaysia akan diberikan kepada ERC dan PRCS dengan masing-masing berjumlah AS$250,000 (RM1.2 juta) dan AS$500,000 (RM2.4 juta).

Wisma Putra berkata, sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai RM5.6 juta (AS$1.2 juta) telah tiba di Lapangan Terbang El-Arish, Mesir pada November dan Disember tahun lepas.

BACA JUGA Radzi Jidin tak ada ‘locus standi’ untuk ulas prestasi ringgit – AMK