AMK kena kutuk buat ‘trip’ ke Hatyai, Adam Adli perjelas apa yang berlaku

Sejak semalam tular satu poster percutian ke Hatyai membabitkan sayap pemuda PKR iaitu Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Poster terbabit menimbulkan kritikan daripada banyak pihak yang mempersoal tujuan hebahan poster itu dalam keadaan banyak lagi isu semasa yang sepatutnya ditangkis oleh sayap muda PKR.

Mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap insiden berlaku, Ketuanya, Adam Adli Abd Halim berkata, teguran telah pun dikeluarkan kepada ahli berhubung isu tersebut.

Jelasnya, selepas retreat di Kuala Lumpur bulan lalu, beliau telah memberi mandat dan kebebasan buat ahli AMK di negeri masing-masing untuk menganjurkan apa sahaja program dalaman yang bertujuan mengukuhkan hubungan dalam organisasi masing-masing. 

Namun tidak disangka, dalam memenuhi arahan tersebut, ahli-ahli dilihat agak tersasar dan tidak sensitif dengan menganjurkan poster sedemikian.

“Saya hargai usaha setiap teman-teman pimpinan dalam memenuhi arahan tersebut tetapi kadangkala tidak sensitif dan akhirnya dilihat tersasar. 

“Sayang sekali pengajaran buat ramai teman-teman AMK yang sedang meningkat naik ini datang dari insiden sebegini. 

“Teguran telah dikeluarkan dan sebagai ketua, saya ambil tanggungjawab untuk membetulkan keadaan,” ujarnya dalam satu ciapan di aplikasi X.

Hatyai

Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan memaklumkan, AMK sentiasa terbuka dan menghargai segala teguran, kritikan serta pandangan orang ramai.

“AMK sentiasa hargai teguran, kritikan, dan pandangan semua. Ada yang cepat kita baiki, ada yang masih belum berhasil,” katanya lagi.

Terdahulu dalam poster yang dihebahkan AMK, foto Adam Adli turut disertakan dalam poster berkenaan.

Ia sekaligus mengundang rasa kurang senang ramai yang menganggap Adam tidak seharusnya memberi kebenaran kepada ahli untuk menggunakan wajahnya di poster tersebut.

“Tak ikut program dia orang sekali kan? Jangan bagilah dia orang sesuka hati guna gambar tu. Kebencian tu tak ada pun dituju dekat ahli yang bawah-bawah tu, orang tak kenal pum.

“Yang atas tu orang kenal yang kena hentam,” komen salah seorang pengguna X.

BACA JUGA Orang Asli di Gua Musang gusar, baru sebulan kontraktor baiki jalan dah rosak lagi