Situasi sekarang tak sama dengan 1998, pertumbuhan ekonomi lebih baik

Perdana Menteri menegaskan bahawa situasi ekonomi Malaysia sekarang ini jauh berbeza dengan keadaan pada 1998.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun mata wang tempatan sedang melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), namun pertumbuhan ekonomi masih berdaya tahan.

Katanya, pada 1998, selain daripada kejatuhan ringgit, kadar inflasi dan pengangguran meningkat dan tiada pelaburan asing masuk ke dalam negara.

“(Berbeza) ketika ini, ia perlu dilihat secara keseluruhan, (Malaysia) mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah, kadar inflasi terus menurun dan kadar pengangguran turut berkurangan.

“(Malah) pertumbuhan (ekonomi negara) adalah berdaya tahan sama seperti negara jiran.

“Ya, (kejatuhan ringgit) adalah membimbangkan, tetapi kita sentiasa memantaunya dan bernasib baik (ringgit) mengukuh sedikit. Namun, perkara ini turut menjejaskan semua negara lain,” katanya selepas merasmikan Menara Exchange 106 hari ini.

BACA JUGA AMK kena kutuk buat ‘trip’ ke Hatyai, Adam Adli akui kesilapan anak buah