Individu serang Saifuddin guna ciapan MP Israel, menteri dakwa ‘naratif jahat, fitnah’

Hantaran Twitter seorang ahli Parlimen Israel yang berkongsi gambar Datuk Seri Saifuddin Nasution – kononnya menteri dari Malaysia sedang mendengar ucapan Presiden Israel, dijadikan modal oleh penyokong pembangkang untuk menyerang Saifuddin.

Ahli Parlimen Israel, Danny Danon pada 22 September tahun lalu menyiarkan gambar Saifuddin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Hantaran itu menyebut, Malaysia mungkin akan dijadikan destinasi pelancongan tanpa visa oleh Israel.

Ia kemudian ditularkan kembali oleh akaun X yang menggunakan nama Kopitiam Malaya.

Apa yang melucukan, dalam keadaan penduduk dunia tidak mempercayai Israel, pengendali akaun tersebut pula lebih rela menelan bulat-bulat apa yang diperkatakan menteri tanah haram itu.

Apa yang pasti, akaun X itu cuba menimbulkan persepsi bahawa Saifuddin mempunyai cenderung kepada Israel.

Bagaimanapun Saifuddin dalam satu ciapan balas menegaskan, tujuan hantaran itu dinaikkan semula adalah untuk mencipta naratif jahat dan fitnah ke atas beliau dan kerajaan.

“Saya menganggap tujuan posting ini dinaikkan semula adalah bertujuan mencipta naratif jahat dan fitnah ke atas saya dan kerajaan Malaysia,” katanya hari ini.

Dalam ciapan MP Israel itu, Danny mengatakan’gembira’ melihat Saifuddin mendengar ucapan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan mungkin bermakna destinasi pelancongan tanpa visa seterusnya bagi warga Israel adalah Malaysia.

Namun Saifuddin menjelaskan bahawa kehadiran beliau di New York pada September tahun lalu sebagai delegasi negara untuk ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada UNGA ke-78.

Saifuddin turut berkata, Perdana Menteri dalam ucapannya pada perhimpunan negara-negara seluruh dunia itu jelas mengkritik sekeras-kerasnya tindakan Israel di hadapan semua delegasi yang hadir.

“Israel, jangan perasan. Sewaktu ucapan di UNGA, YAB Perdana Menteri Malaysia jelas mengkritik sekeras-kerasnya tindakan Israel di hadapan semua,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, manakala pasport negara kita tidak boleh digunakan untuk perjalanan ke Israel.

BACA JUGA AMK kena kutuk buat ‘trip’ ke Hatyai, Adam Adli perjelas apa yang berlaku