Pasar Siti Khadijah masih meriah, peniaga nafi video tular konon pasar sepi

Peniaga-peniaga di Pasar Siti Khadijah menafikan video tular yang mendakwa pasar itu kini sunyi sepi tanpa kehadiran pengunjung.

Salah seorang peniaga yang wajahnya terpapar dalam video tersebut, mengakui terkejut melihat rakaman berkenaan dan menjelaskan bahawa pasar itu masih lagi meriah seperti biasa.

Mereka mendakwa, setiap hari pasar itu meriah dengan kehadiran pelancong domestik yang mahu menikmati makanan dan membeli barangan terutama pada musim cuti perayaan serta persekolahan.

Rospauzilaismawati Ismail, 38, berkata, video yang tular itu diambil tahun lepas ketika orang ramai mula pergi ke Hatyai, Thailand dan bukannya ketika sambutan Hari Raya Cina baru-baru ini.

Katanya, video itu diambil oleh seorang individu pada Ogos tahun lalu kira-kira jam 4 petang ketika ramai peniaga kuih-muih sudah pulang selepas barang jualan habis dijual.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan ia dimuat naik di media sosial oleh individu lain pada Tahun Baharu Cina lalu sedangkan pada hari sama ramai pelanggan di sini.

“Suasana sunyi yang didakwa individu dalam video itu ialah kerana ramai peniaga sudah pulang, namun kami masih meneruskan perniagaan kerana menjual barangan kering,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Kelmarin, Harapandaily melaporkan, peniaga-peniaga di Pasar Siti Khadijah mengeluh dek ketiadaan pengunjung walaupun pada cuti persekolahan yang bermula sejak 9 Februari lalu.

Suasana di pasar besar itu didakwa agak lengang dengan beberapa peniaga kelihatan hanya duduk di kerusi sambil termenung menunggu orang ramai.

Mereka mendakwa, suasana sepi sejak pagi hari disebabkan ibu bapa lebih memilih untuk membawa anak-anak melancong ke Hatyai, Thailand.

Sementara itu lapor Sinar Harian lagi, seorang lagi peniaga iaitu Mokhtar Hashim, 44, memberitahu, tiada sebarang isu sejak dia berniaga di pasar itu 15 tahun lalu.

“Saya tidak menyangka, ada yang datang ke sini dan membandingkan Hatyai sedangkan ia tidak menggambarkan suasana sebenar,” katanya.

Sementara itu, peniaga kuih, Izan Ariffin, 54, gembira berniaga pada musim perayaan atau cuti persekolahan berikutan ramai pelancong dari Kelantan datang membeli kuih-muih.

Katanya, pelanggan mula memenuhi ruang pasar itu pada jam 9 pagi dan kuih-muih yang dijual seperti ketupat, pulut dan tapai juga laris.

Dia yang tinggal di Kampung Pantai Cahaya Bulan mula membuka gerai bersama anaknya pada jam 7 pagi dan akan pulang sebelum jam 5 petang.

BACA JUGA KP pelancongan diturunkan pangkat bukan dipecat, banyak peluang diberi tapi prestasi gagal