Dari hanya terima sebekas akok, imam tarawih kini dapat RM1,000 satu malam

Seorang imam memberitahu hanya menerima sebekas kuih akok sepanjang Ramadan semasa menjadi memimpin solat sunat tarawih ketika usianya 14 tahun.

Imam Satu Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai, Ahmad Maher Safiain, 30, berkata, kini beliau dibayar RM1,000 satu malam untuk menjadi imam tarawih jemputan di Kuala Lumpur.

“Menjadi imam tarawih bukan tugas mudah, selain tampil dengan bacaan yang merdu, kami juga perlu menjaga kualiti bacaan, sebutan dan sifat huruf dengan penuh rapi serta sebaik mungkin.

“Hal ini bagi memastikan ia tidak melanggar hukum tajwid,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, bayaran imam bagi solat tarawih sepanjang tempoh sebulan Ramadan yang mencecah lima angka sudah menjadi kebiasaan di Kelantan.

“Sepertimana kami menawarkan RM6,000 kepada imam tarawih untuk Ramadan kali ini.

“Di masjid kami, sepanjang 30 Ramadan akan ada dua imam yang bertugas dan bayarannya mencecah RM12,000 untuk sebulan,” jelasnya.

Sejak kelmarin, tular di media sosial hantaran Ahmad Maher yang mencari imam tarawih dengan bayaran RM6,000 sepanjang Ramadan.

Ahmad Maher turut memaklumkan bayaran imam tarawih di Madinah Ramadan juga mencecah hampir RM20,000.

Menurutnya, tujuan menguar-uarkan bayaran sebagai imam tarawih itu adalah untuk membuka mata semua pihak sekali gus mengangkat lagi imej imam.

Tambahnya, ia juga bagi memberi kesedaran bahawa bayaran imam perlu dinaikkan berpandukan kepada peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Dalam masa sama, katanya, beliau melihat pihak masjid yang menggunakan khidmat imam tarawih perlu kreatif dalam mencari sumbangan.

“Janganlah hanya bergantung kepada tabung masjid semata-mata.

“Malah, jemaah serta orang ramai juga sanggup menyumbang bagi merebut pahala berganda sepanjang Ramadan,” kata Ahmad Maher lagi.

BACA JUGA Elaun bulanan imam diselaraskan Jakim