Kes Spanco: Apa maksud penafian dibuat Mahiaddin?

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mempersoal maksud penafian dibuat Tan Sri Mahiaddin Yassin berhubung kes Spanco Sdn Bhd (Spanco).

Beliau menegaskan tiada kenyataan mengandaikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan oleh Spanco kepada kerajaan.

Menurutnya, beliau hanya membuat kenyataan umum dan tidak pernah mengaitkan Mahiaddin dalam kes berkenaan.

“Apa maksud dia sebenarnya? Saya hanya membuat kenyataan (isu Spanco) apabila ditanya (media) sama ada beliau akan dipanggil.

“Saya menyatakan tidak menafikan, mahu pun tidak menolak (panggil Muhyiddin beri keterangan). Namun, ia bergantung kepada pegawai penyiasat SPRM.

“Jadi, saya sebenarnya tidak lagi mengatakan serta tidak membuat membuat sebarang andaian (mengaitkan Muhyiddin dalam isu Spanco).

“Itu satu perkara biasalah bila kita membuat kenyataan tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku (dalam siasatan SPRM),” katanya.

Azam berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Mersing hari ini.

Terdahulu, Mahiaddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, sehingga kini tohmahan jahat itu berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau terbabit dalam perkara terbabit dan salah laku berkenaan.

Azam sebelum ini berkata, SPRM akan memanggil Mahiddin memberi keterangan, jika ada keperluan berbuat demikian bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Oleh sebab itu, saya katakan kalau ada keperluan, saya serahkan kepada pegawai penyiasat untuk memanggil sesiapa jua, termasuk Muhyiddin.

“Khamis lalu (22 Februari), saya menyatakan beberapa saksi sudah dipanggil memberi keterangan termasuk bekas menteri kewangan yang terbabit dalam pemberian kontrak Spanco.

“Saya juga ketika itu menyatakan tidak akan menolak memanggil sesiapa sahaja yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan,” kata Azam lagi.

BACA JUGA “Saya akan siasat sesiapa walaupun menteri” – Ketua Pesuruhjaya SPRM