Menghampiri Ramadan sudah lebih 29,600 penduduk Palestin terkorban

Ketika Ramadan semakin menghampiri umat Islam, Israel tanpa henti meneruskan pembunuhan sehingga sudah lebih 29,600 penduduk Palestin terkorban.

Ribuan lagi penduduk hilang akibat dihempap runtuhan bangunan yang dibom Israel tanpa henti.

Menurut Kementerian Kesihatan, tentera Israel membunuh 92 penduduk Palestin dan mencederakan 123 yang lain dalam tempoh 24 jam terakhir.

Kenyataan sama juga mendedahkan sejumlah 132 wartawan Palestin dibunuh tentera Israel sejak 7 Oktober.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) dilapor telah memindahkan 18 individu cedera dari kompleks Hospital Nasir di Khan Younis.

Hospital terbesar di selatan Gaza itu antara yang sudah tidak dapat beroperasi.

Israel melancarkan genosid ke atas Semenanjung Gaza sebagai reaksi balas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Serangan berterusan negara haram itu ke atas Gaza mengakibatkan 85 peratus penduduknya kehilangan tempat tinggal.

Rakyat Palestin yang terselamat pula kini terpaksa berdepan dengan krisis kelaparan selain kekurangan air bersih dan ubat-ubatan.

Sarraa dari Gaza terbunuh bersama beberapa ahli keluarganya dalam serangan udara Israel menggunakan bom buatan Amerika Syarikat (AS) di Deir el-Balah, tengah Gaza. Sumber: X Quds News Network

Mengikut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga, sebanyak 60 peratus infrastruktur di wilayah itu pula rosak atau musnah.

Israel didakwa di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas pertuduhan melakukan genosid.

Rejim Zionis terus berdegil meneruskan keganasan walaupun keputusan interim pada Januari lalu menyaksikan Tel Aviv diperintah menghentikan tindakan genosid.

Negara pembunuh dikepalai Benjamin Netanyahu itu juga tidak mempedulikan tuntutan supaya mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Malah, Netanyahu mahu mengawal Gaza sepenuhnya selepas perang tamat dengan hal ehwal sivil Gaza akan dikendalikan oleh ‘pegawai tempatan berpengalaman pentadbiran’ dan ‘tidak dikaitkan dengan negara atau entiti menyokong keganasan’.

Berdasarkan pelan pasca perang itu, tentera Israel akan mempunyai ‘kebebasan yang tidak terbatas’ untuk beroperasi di seluruh Gaza walaupun selepas perang.

Alasan Israel kononnya bagi menghalang sebarang kebangkitan semula aktiviti keganasan walaupun tentera rejim pengganas itu pada masa ini telah menggunakan dron kecil untuk membunuh dan mencederakan rakyat Palestin dari jarak dekat.

BACA JUGA ICJ perintah Israel ambil tindakan henti genosid di Gaza