Menjelang sidang Dewan Rakyat: Ini harapan PM kepada ahli Parlimen kerajaan

Sidang Dewan Rakyat bermula esok memerlukan ahli Parlimen kerajaan memperjelas isu rakyat bersandarkan fakta.

Itu antara perkara yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat prapersidangan Dewan Rakyat pagi tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata terdapat beberapa isu dan rang undang-undang (RUU) baharu yang harus disantuni oleh ahli Parlimen.

“Harapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kali ini, ahli-ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan akan berhujah dengan lebih berfakta dan lebih berdasarkan bahan kajian.

“Kita tahu pihak pembangkang pastinya akan membangkitkan banyak isu lama dan baharu tetapi kita akan tangani dengan sebaik-baiknya,” katanya selepas perasmian program Penggerak Wanita RISDA, di Cyberjaya hari ini.

PM Anwar ketika sesi pra majlis sidang Dewan Rakyat kira-kira tiga jam di Seri Perdana pagi tadi.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga berkata, pesanan Anwar itu akan memberikan imej yang lebih baik kepada ahli Parlimen kerajaan MADANI.

Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri turut meminta supaya pada tahun ini dan seterusnya, kerajaan MADANI harus menangani isu rakyat seperti hal perundangan, bahan makanan dan juga kejatuhan ringgit.

“Ini harus diperjelas dan usaha-usaha yang baharu harus dilakukan terutamanya melibatkan pelaburan sebanyak RM329 bilion.

“(Pelaburan ini) akan memberikan peluang pekerjaan.

“Ini tentunya akan menambahkan eksport negara dan secara tidak langsung soal kejatuhan ringgit akan dapat diatasi dalam waktu yang terdekat,” kata Zahid lagi.

Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bakal bermula esok, dengan Mesyuarat Pertama bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing akan berlangsung sehingga hujung Mac dan awal April.

Mesyuarat bermula dengan Istiadat Pembukaan di bangunan Parlimen jam 10 pagi esok dan tumpuan pastinya terarah kepada titah sulung Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.

BACA JUGA Terkejut tahu gaji dan elaun ahli politik, hadir Parlimen je dapat RM400 sehari