Polis tidak terima pemberitahuan mengenai himpunan Bersih 27 Februari ini
Pihak polis tidak menerima sebarang pemberitahuan berhubung penganjuran Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 peratus yang dijadual berlangsung di Parlimen pada 27 Februari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya mengesan satu poster tular di media sosial hari ini berkaitan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadakan perhimpunan itu.
“Dalam poster itu, orang ramai diseru untuk berhimpun di Tugu Negara dan kemudian berarak ke Parlimen.
“Setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 daripada mana-mana pihak yang mahu mengadakan perhimpunan itu.
“Himpunan tanpa pemberitahuan perhimpunan adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Allaudeen menasihati orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahi undang-undang,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam temu bual Buletin Awani hari ini berkata, perhimpunan #Reformasi100peratus pada 27 Februari bukan demonstrasi besar-besaran.
Menurutnya, aksi berarak ke Parlimen itu bertujuan menyegarkan kembali momentum kesedaran rakyat agar harapan pelaksanaan agenda reformasi terus hidup.
“Ia adalah permulaan kepada tuntutan kita kepada Ahli Parlimen dan pemerintah agar melaksanakan agenda reformasi 100 peratus.
“Aksi pada Selasa ini (27 Februari) lebih kepada aksi tunjuk rasa untuk bina momentum kesedaran rakyat dan desakan kepada kerajaan bersama Ahli Parlimen agar tidak lupa agenda reformasi.
“Ini bukan suatu pengakhiran,” kata Faisal lagi.
BACA JUGA Polis terlebih BMI diarah jalani latihan jasmani