Agong tegur pihak yang gagal kuasai bahasa kebangsaan, fahami budaya kaum lain

Kepentingan menguasai bahasa kebangsaan juga terkandung dalam titah sulung Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.

Sehubungan itu, baginda berharap Kerajaan Madani dapat melaksanakan dasar mengukuhkan perpaduan antara rakyat negara ini.

“Saya perhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain.

“Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.

“Pepatah Melayu ada menyebut, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” – yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak anak kecil,” titah baginda.

Sultan Ibrahim

Dalam sama sama, baginda berjanji akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi memelihara kemakmuran, kesejahteraan dan kedaulatan negara ini.

“Pada kesempatan ini, saya menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang yang telah menaungi negara serta rakyat jelata selama lima tahun yang lalu, dengan adil dan bijaksana.

“Insya-Allah dengan limpah kurnia serta izin-Nya, saya akan memikul amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas serta meneruskan pemerintahan yang mengutamakan kemakmuran negara, kesejahteraan hidup rakyat membela nasib rakyat.

“Kedudukan saya di sini adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah raja-raja untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa terpelihara,” titah baginda lagi.

BACA JUGA Usah hasut rakyat dengan isu 3R – Sultan Ibrahim