Bersih serah notis makluman berarak ke Parlimen esok

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyerahkan notis pemberitahuan kepada polis, berhubung rancangan mereka berarak ke Parlimen esok.

Hal itu dimaklumkan menerusi akaun Facebook Bersih petang tadi.

“Bersih selesai menyerahkan notis makluman kepada IPD (Ibu Pejabat Polis) Dang Wangi berkenaan aksi di Parlimen tuntut #Reformasi100Peratus esok,” menurut hantaran itu.

Dalam hal berkaitan, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, notis pemberitahuan perlu diserahkan sekurang-kurangnya lima hari daripada tarikh berhimpun.

“Di bawah peruntukan Seksyen 9 (1) APA 2012, notis pemberitahuan bersama dokumen sokongan perlu diserahkan lima hari daripada tarikh perhimpunan tersebut dianjurkan,” katanya.

Sehubungan itu, Allaudeen menggesa semua pihak mematuhi undang-undang yang dikuat kuasa di negara ini.

BACA JUGA Polis tidak terima pemberitahuan mengenai himpunan Bersih 27 Februari ini