DAP junjung Titah Agong perkukuhkan kestabilan negara
DAP menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melakukan yang terbaik serta memperkukuh kestabilan politik bagi mewujudkan Malaysia MADANI yang harmoni, bersatu, makmur dan sejahtera.
Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming, berkata 40 Ahli Parlimen dari parti tersebut menjunjung tinggi titah Sultan Ibrahim.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut menyeru semua 222 Ahli Parlimen supaya menjunjung titah Sultan Ibrahim itu dengan beriltizam menunjukkan teladan yang baik.
“Selain menjaga martabat dan darjat Parlimen, Ahli Parlimen harus bersikap profesional untuk mengekalkan kestabilan politik negara supaya kerajaan boleh menumpukan segala perhatian dan usaha kepada pentadbiran serta pelaksanaan dasar bagi mempergiatkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.
“Seperti titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Ketua Negara, jika ada pihak yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Kor Ming berkata demikian dalam kenyataan media selepas menghadiri Istiadat Pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, Sultan Ibrahim dengan jelas menegaskan Baginda tidak akan melayan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.
“Titah Baginda menunjukkan keprihatinan Baginda terhadap masa depan negara dan keazaman Baginda untuk memelihara institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang merupakan sistem pemerintahan negara kita,” katanya.
Menurutnya, titah Baginda akan memperkukuh kestabilan negara dalam tempoh empat tahun yang akan datang dan ini akan membantu usaha kerajaan untuk memulihkan keyakinan pelaburan tempatan dan luar negara sekali gus membawa ekonomi negara ke landasan yang dituju.
“Malaysia kini telah naik lima tangga kepada kedudukan ke-27 dalam ekonomi paling kompetitif di dunia, kedudukan negara akan mencapai kedudukan lebih tinggi pada masa depan jika kestabilan politik dapat dikekalkan untuk satu tempoh yang lebih lama, ” tambahnya lagi.
BACA JUGA Titah Agong sarat pesanan, Ahli Parlimen harus jadikan panduan